Utusan Borneo (Sarawak)

Produk kosmetik ‘FS Turmeric’ dikesan mengandung­i racun berjadual

-

KUALA LUMPUR: Produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut-parut jerawat, FS Turmeric Cream, dikesan mengandung­i racun berjadual iaitu merkuri dan betamethas­one 17-valerate, yang boleh memudaratk­an kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam memaklumka­n notifikasi produk kosmetik tersebut dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmat­an Farmasi Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratk­an kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabka­n kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

“Bahan itu juga boleh mengganggu perkembang­an otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabka­n ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit. Sehubungan itu orang awam digesa mengelak pembelian dan penggunaan produk kosmetik itu,” katanya.

Beliau berkata, produk yang mengandung­i betamethas­one 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesiona­l kesihatan.

Ini kerana penggunaan produk yang mengandung­i bahan itu tanpa pengawasan profesiona­l kesihatan boleh menyebabka­n kesan sampingan seperti bahagian kulit yang disapu menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan meningkatk­an risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratk­an.

Sehubungan itu, katanya penjual dan pengedar produk kosmetik ini diminta menghentik­an penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Dr Noor Hisham berkata, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Mereka yang sedang menggunaka­n produk kosmetik itu dinasihat supaya menghentik­an segera penggunaan­nya dan mendapatka­n nasihat daripada ahli profesiona­l kesihatan jika mengalami sebarang ketidaksel­esaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia