Utusan Borneo (Sarawak)

Terbuka Dubai: Svitolina dikejutkan pada perlawanan pembukaan

-

DUBAI: Pilihan pertama, Elina Svitolina, dikejutkan 2-6, 6-4 dan 6-1 oleh Svetlana Kuznetsova pada perlawanan pembukaan beliau di Terbuka Dubai pada Selasa sementara bintang sensasi Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff, bersaing sengit untuk menewaskan Marketa Vondrousov­a.

Pilihan keempat, Petra Kvitova, terpaksa menarik diri kerana kecederaan pada pertemuan menentang Jill Teichmann.

Kuznetsova bangkit dari ketinggala­n satu set sebelum menewaskan juara dua kali untuk mencipta kemenangan ke-21 beliau di Dubai – jumlah tertinggi dari pemain aktif WTA.

Pemain berusia 35 tahun dari Rusia itu adalah naib juara tiga kali di sini dan di pusingan 16 akhir, beliau akan bertemu Barbora Krejcikova, yang menyingkir­kan bekas juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko.

“Sememangny­a kekalahan ini sangat sukar kerana saya fikir saya memulakan permainan dengan agak baik dan saya berasa selesa sebelum kejohanan. Saya juga suka bermain di sini tetapi keputusan ini sangat mengecewak­an,” kata Svitolina, pemain ranking kelima dunia.

Memegang tujuh mata akhir berturut-turut, Gauff memerlukan dua jam untuk menewaskan pilihan ke-12 dari Republik Czeh, Vondrousov­a, 3-6, 6-0 dan 6-4 untuk menempah pertemuan pusingan ketiga menentang pemain kelayakan Tereza Martincova.

Saingan menjadi tegang apabila Gauff, 16, mengadu kepada pengadil tentang cara Vondrousov­a melakukan kesilapan ketika memukul servis dan ia keadaan menjadi lebih tegang apabila Gauff kelihatan sengaja memukul bola ke arah badan Vondrousva.

Pada pertemuan lebih tenang, Teichmann, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan ini, melangkah selesa ke pusingan ketiga apabila Kvitova terpaksa menarik diri pada pertengaha­n set kedua.

Juara di Doha tiga hari yang lalu, Kvitova tewas set pertama 6-2 dan menerima rawatan kecederaan paha kanannya. Beliau mendahului Teichman 4-1 pada set kedua tetapi gagal bertahan sebelum menarik diri.

Pada perlawanan lain, pilihan ketiga, Aryna Sabalenka menewaskan Alize Cornet dari Perancis sementara juara Terbuka Perancis, Iga Swiatek, juga meneruskan kemaraan dengan menewaskan Misaki Doi dari Jepun 6-2 dan 6-4.

Dengan kemenangan itu, Swiatek, pemain dari Poland, akan menentang Garbine Muguruza.

Pilihan kedua kejohanan, Karolina Pliskova, gagal menyempurn­akan dua mata akhir sebelum akhirnya menewaskan Anastasija Sevastova dari Latvia, 6-3, 67(5/7) dan 6-2.

Belinda Becic menewaskan Veronika Kudermotov­a 6-4, 5-7 dan 6-4 untuk menempah pertemuan menentang pemain remaja, Anastasia Potapova. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia