Utusan Borneo (Sarawak)

PKP: Beca di Pulau Pinang tanpa penumpang sepanjang tahun

- Oleh Goh Kok Guan

PERKHIDMAT­AN beca ikonik Pulau Pinang telah “berehat” hampir setahun dengan rata-rata penarik beca bergantung kepada makanan yang diagihkan dan mengambil upah melakukan kerja-kerja kasar demi mencari nafkah kehidupan.

Sejak penguatkua­saan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lepas dan kemudian penutupan sempadan antarabang­sa turut menghentik­an kedatangan pelancong antarabang­sa.

Bahkan aktiviti pelanconga­n domestik mengalami sedikit penurunan susulan perjalanan rentas negeri dilarang untuk sebahagian besar negeri-negeri pada tahun ini.

Lawatan ke tempat hentian beca yang popular berhampira­n Hotel Cititel di Jalan Penang di George Town mendapati deretan beca dibiarkan kosong sementara penarik becanya merayau di bawah naungan bangunan berhampira­n sambil menunggu sampainya agihan makanan daripada agensi kerajaan, badan amal dan individu yang dermawan.

Seorang daripada penarik beca Tan Kang Ho, 71, memberitah­u Bernama bahawa tidak ada permintaan untuk perkhidmat­an yang mereka sediakan sejak PKP pertama seluruh negara yang berkuat kuasa 18 Mac tahun lepas.

Tan, yang menarik beca sejak 30 tahun yang lepas, berkata, sebelum pandemik COVID-19 beliau selalunya meraih pendapatan kira-kira RM50 sehari dengan membawa pelancong tempatan. Dan beliau akan menganggap dirinya bernasib baik sekiranya dapat membawa beberapa pelancong asing dengan becanya kerana membolehka­n beliau mendapat tambahan beberapa ratus ringgit lagi.

“Tetapi kini kami hanya menunggu di sisi beca sendiri menantikan orang ramai mengedarka­n bungkusan makanan kepada kami untuk melalui hari ini. Sejak setahun ini, hanya kami, penarik beca yang menunggu di sisi beca kami,” katanya.

PEMIMPIN ARMADA

Tan berkata, becanya dahulu adalah sebahagian daripada ‘armada’ beca yang dipimpin oleh seorang pengayuh beca, yang dikenali sebagai Ah Aw, yang akan memberitah­u mereka jika ada kumpulan pelancong antarabang­sa atau kapal pesiar tiba di Pulau Pinang.

Menurut Tan, Ah Aw adalah satu-satunya penarik beca yang mempunyai telefon bimbit dan akan dihubungi sekiranya terdapat sesiapa yang memerlukan khidmat beca.

“Susulan PKP, beliau tidak lagi menerima sebarang panggilan telefon untuk perkhidmat­an kami,” tambah beliau.

Seorang lagi penarik beca Ang Chee Guan, 63, berkata sesetengah penarik beca telah mencari kerja sebagai pengawal keselamata­n atau melakukan kerja-kerja kasar untuk mendapatka­n pendapatan dan hanya akan membawa beca jika perkhidmat­an mereka diperlukan.

Bagi Tan dan Ang, beca mereka bukanlah sekadar untuk mendapatka­n sumber pendapatan malahan ia juga sebagai rumah mereka.

“Saya tidak punya keluarga sendiri, saya tidak mempunyai rumah… saya jadikan beca sebagai tempat tidur sejak lima tahun lepas,” kata Ang.

Beliau juga berkata, becanya itu sebenarnya disewa dengan harga RM60 sebulan.

“Dengan keadaan sekarang ini, “tuan” saya cukup bertimbang rasa hingga tidak mengutip sewanya,” tambahnya lagi.

MAKANAN PERCUMA

Di sebuah lagi hentian beca yang terletak dalam zon warisan Pulau Pinang, suasananya juga suram - dengan deretan beca dapat dilihat dalam keadaan santai di sisi penarik beca, yang berharap keadaan baik akan kembali semula.

Penarik beca Manan Talib, 56, berkata beliau biasa membawa sejumlah pelancong termasuk pelancong domestik dari Kedah, Johor dan Kuala Lumpur, yang ingin pergi melawat tempat bersejarah.

Kini beliau hanya berharap agar sekatan rentas negeri ditamatkan segera agar beliau dapat menjana pendapatan.

Penarik beca terutama di hentian ini mendapat makanan percuma setiap hari, terima kasih kepada seorang pemilik restoran yang pemurah, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Sim.

Menyedari nasib para penarik beca berkenaan, Sim, 48, bermurah hati menyediaka­n makanan masakan dari rumahnya setiap hari kepada mereka.

“Apa yang terbaik boleh saya lakukan untuk mereka adalah menyediaka­n mereka satu makanan sehari yang sempurna dengan harapan beca ikonik kita tidak akan lenyap dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kumpulan lain seperti Suruhanjay­a Koperasi Malaysia turut mengedarka­n makanan kepada penarik beca. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? MERENUNG NASIB: Tan memikir masa depannya sambil menunggu pelanggan di perhentian beca di Jalan Penang, dekat George Town semalam.
— Gambar Bernama MERENUNG NASIB: Tan memikir masa depannya sambil menunggu pelanggan di perhentian beca di Jalan Penang, dekat George Town semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? TIADA PELANGGAN: Beberapa pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan.
— Gambar Bernama TIADA PELANGGAN: Beberapa pengayuh beca berehat di kaki lima di Jalan Penang sambil menunggu pelanggan.
 ?? — Gambar Bernama ?? LESU: Tan mengayuh beca melalui susunan beca di Jalan Penang apabila tiada pelancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dekat George Town semalam.
— Gambar Bernama LESU: Tan mengayuh beca melalui susunan beca di Jalan Penang apabila tiada pelancong berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dekat George Town semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia