Utusan Borneo (Sarawak)

Rakyat Malaysia bebas daripada tuduhan dadah pulang ke tanah air

-

SINGAPURA: “Perjalanan ke lapangan terbang adalah metafora. Saya menjemputn­ya dalam kegelapan. Dia kemudian beredar untuk pemeriksaa­n kastam ketika matahari mula terbit. Hari baharu. Kehidupan baharu.”

Itu kata Wong Siew Hong, peguam yang mewakili Beh Chew Boo, 38, rakyat Malaysia yang terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan membebaska­nnya daripada kesemua lima pertuduhan membawa dadah ke Singapura dan kembali ke Malaysia sebagai lelaki yang bebas.

“Saya rasa sempurna, saya telah melakukan tugas saya sebagai seorang peguam, lelaki dan sahabat,” kata Wong yang berasal dari Singapura kepada Bernama di Lapangan Terbang Changi awal semalam.

Beh berlepas ke Pulau Pinang tidak lama kemudian.

“Ia merupakan perjalanan yang boleh saya kongsikan bersamanya. Daripada waktu susah dan senang,” kata peguam berusia 60 tahun itu.

“Banyak yang saya pelajari sepanjang perjalanan ini dan saya bersyukur, Tuhan memilih saya sebagai individu yang menyelamat­kan Beh daripada kematian,” kata rakan kongsi di Eldan Law LLP itu.

Beh yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas, terselamat daripada hukuman gantung pada Oktober selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Singapura menerima rayuannya.

Pada 2 Mac lepas, panel hakim yang sama, Sundaresh Menon, Tay Yong Kwang dan Steven Chong turut mengetepik­an permohonan pihak pendakwa untuk mengenakan empat pertuduhan yang lebih ringan berkaitan dadah terhadap Beh.

Panel hakim membuat keputusan 2-1 yang memihak kepada Beh.

Setelah Beh bebas daripada tahanan, lelaki itu berada di bawah jagaan Wong.

Pada 10 hari lepas, beliau menyediaka­n penginapan sementara buat Beh di sebuah hotel, serta pakaian dan perbelanja­annya sehingga urusan kepulangan­nya ke tanah air selesai.

Di pintu pelepasan di lapangan terbang, Beh dilihat menunduk kepada Wong yang telah membuktika­n bahawa anak guamnya itu tidak bersalah dalam perjuangan di mahkamah yang berlangsun­g selama 52 bulan, sambil Wong turut membalasny­a dengan lambaian di sebalik pintu kaca.

Beh turut menghantar klip audio 10 saat kepada penulis sebaik duduk di dalam pesawat, dan mesej: “Kak Mas, jaga diri sendiri. Jumpa lagi ya, kakak Mas.” — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia