Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan Agong berhubung proklamasi darurat tidak boleh dicabar: Hakim

Ia dibuat selepas ketepikan permohonan semakan kehakiman oleh tiga wakil rakyat

-

“Oleh itu, dengan ketiadaan kewajiban undang-undang yang dikenakan pada responden pertama, relif yang dipohon oleh pemohon adalah salah faham dalam undang-undang. ”

Datuk Ahmad Kamal Md Shahid

Hakim Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam memutuskan bahawa proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, perkara itu diperuntuk­kan di bawah Artikel 150(8) Perlembaga­an Persekutua­n, yang antara lain menetapkan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat adalah muktamad dan konklusif, dan tidak boleh dicabar atau dipersoalk­an di mana-mana mahkamah walau apa jua alasannya.

Hakim membuat ketetapan itu selepas mengetepik­an permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh tiga wakil rakyat untuk mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menangguhk­an sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semasa darurat.

Tiga wakil rakyat itu terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram yang juga Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, ADUN Gurun yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan perdana menteri dan juga kerajaan Malaysia sebagai responden.

Hakim Ahmad Kamal juga berpandang­an bahawa permohonan ketiga-tiga pemohon untuk mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenai proklmasi darurat tidak boleh terbuka kepada semakan kehakiman.

“Artikel 150 (8) Perlembaga­an Persekutua­n adalah sah dan berperlemb­agaan. Lebih penting lagi, Perkara 150 (8) Perlembaga­an Persekutua­n telah menutup pintu mahkamah terhadap sebarang tindakan mencabar atau permohonan bagi menentang proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat,” katanya.

Beliau juga berkata, berdasarka­n penemuanny­a dalam Artikel 150(8) Perlembaga­an Persekutua­n, tiada semakan kehakiman boleh dibuat bagi mencabar keputuan Agong di bawah Artikel 150(1) dan Artikel 150(2B) akta yang sama.

“Malah isu ini sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutua­n dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang Pendakwa Raya,” katanya.

Hakim Ahmad Kamal seterusnya berkata, tidak ada dalam Perlembaga­an Persekutua­n yang menetapkan tanggungja­wab undangunda­ng terhadap responden pertama (Muhyiddin) untuk bertindak sebagaiman­a yang dikatakan oleh pemohon.

“Oleh itu, dengan ketiadaan kewajiban undang-undang yang dikenakan pada responden pertama, relif yang dipohon oleh pemohon adalah salah faham dalam undang-undang.

Oleh itu, hakim berkata pemohon gagal melepasi ujian semakan kehakiman kerana perkara dalam kes itu telah diselesaik­an oleh undang-undang.

“Jelas bahawa tidak ada kes yang dapat diperdebat­kan pemohon. Oleh itu, permohonan ini tidak berasas. Sehubungan dengan perkara di atas, permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ditolak tanpa perintah berhubung kos,” katanya.

Peguam kanan persekutua­n Suzana Atan dan S. Narkunavat­hy mewakili responden sementara peguam Datuk Gurdial Singh Nijar dan Christophe­r Leong mewakili pemohon.

Pada 26 Januari lepas ketiga-tiga wakil rakyat itu memohon beberapa relif daripada mahkamah terhadap proklamasi Darurat.

Pejabat Peguam Negara pada 11 Feb memfailkan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan pemohon tidak mempunyai kes yang boleh didebatkan bagi membolehka­n kebenaran semakan kehakiman diberikan.

Pada 12 Jan lepas Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumka­n bahawa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada proklamasi daurat untuk dilaksanak­an di seluruh negara sehingga 1 Ogos, sebagai langkah proaktif bagi menangani pandemik COVID-19 dalam negara.

Muhyiddin, dalam perutusan khas sempena proklamasi darurat pada hari yang sama menjelaska­n bahawa kabinet telah menasihatk­an Seri Paduka Baginda untuk mengeluark­an proklamasi darurat bagi seluuh negara selaras dengan Artikel 150 (1) Perlembaga­an Persekutua­n, berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

Artikel 150 (1), antaranya menetapkan bahawa Yang diPertuan Agong boleh mengisytih­arkan darurat sekiranya baginda berpuas hati bahawa wujud kecemasan besar yang menggugat keselamata­n, atau kehidupan ekonomi atau ketenteram­an awam, yang mengancam persekutua­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia