Utusan Borneo (Sarawak)

Pekebun rugi RM150,000 terperdaya iklan pajak kebun durian

-

MELAKA: Hasrat seorang pekebun untuk memajak kawasan kebun durian seluas 2.6 hektar (6.5 ekar) di Ayer Molek, di sini tidak kesampaian setelah mengalami kerugian RM150,000 setelah terperdaya dengan satu tawaran iklan di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt E. Sundra Rajan dalam satu kenyataan di sini semalam memaklumka­n pada Oktober 2020, mangsa yang bekerja sendiri sebagai pekebun di Jementah, Segamat Johor berminat untuk memajak tanah kebun durian yang ditawarkan di Tiang Dua Mukim Ayer Molek, di sini.

“Mangsa telah ke Melaka dan berjumpa dengan suspek sebelum dibawa melihat kawasan tanah berkenaan. Setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk memajak selama lima tahun dengan nilai pajakan sebanyak RM150,000,” katanya.

Mangsa bersama-sama suspek juga telah pergi ke pejabat Pesuruhjay­a Sumpah di Jalan Panjang di sini untuk menandatan­gani surat perjanjian dan membuat pembayaran RM150,000 secara tunai kepada suspek.

Bagaimanap­un pada Selasa lepas (9 Mac), abang mangsa yang menetap di Melaka memaklumka­n bahawa tanah kebun yang dipajak oleh mangsa adalah milik orang lain dan bukan kepunyaan suspek.

“Menyedari telah diperdaya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir semalam (kelmarin) dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta agar orang ramai lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pajakan tanah yang diiklankan melalui media sosial dan membuat semakan terhadap nombor yang mencurigak­an di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakanmul­e atau memuat turun aplikasi check scammers CCID. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia