Utusan Borneo (Sarawak)

Tindakan tatatertib jika bersekongk­ol dengan penyeludup, pengedar dadah

-

KOTA BHARU: Tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan diambil sekiranya terdapat pegawai dan anggota yang bersekongk­ol dengan penyeludup atau pengedar dadah di sempadan negara, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkomprom­i dengan pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Penyeludup atau pengedar dadah tidak akan melepasi sekatan yang dilaksanak­an di negeri ini sekiranya tidak ada pemberi maklumat kepada mereka. Kalau tiada ‘informer’ di sini penyeludup tidak boleh lepas.

“Malah seperti yang kita semua sedia maklum, sekatan di negeri sekarang sangat ketat tambahan pula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pintu sempadan juga belum dibuka namun kita tetap dapati masih ada cubaan membolosi sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpuna­n Bulanan di Dewan Dato’ Ab Rahman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini semalam.

Sementara itu, Shafien berkata, beliau telah mengarahka­n pasukan pemantau untuk mengawasi penggunaan laman media sosial melibatkan pegawai dan anggotanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan pegawai dan anggotanya dikesan menyalahgu­nakan media sosial dengan memuat naik perkara negatif termasuk menunjukka­n kemewahan yang melampau sehingga menjadi tular.

“Perkara ini bukan sahaja akan menjejaska­n individu berkenaan bahkan turut menjejaska­n pasukan. Jadi saya menyeru polis di negeri ini jangan sesekali menyalahgu­nakan laman media sosial termasuk untuk mengenakan kawan sendiri tanpa pengetahua­n mereka,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia