Utusan Borneo (Sarawak)

Tujuh pengawal keselamata­n mengaku tidak bersalah cederakan pemuda

-

MIRI: Tujuh pengawal keselamata­n di sebuah ladang sawit di Batu Niah masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mencederak­an seorang pemuda awal bulan lalu, yang mana video rakaman kejadian tular di media sosial.

Razali Rahim (25) dan Mohd Jaini Johara (29), kedua-duanya dari Ladang Tiga, Jalan Miri-Bintulu; Abang Azlisyam Abang Januari (44) dari Sungai Merah, Sibu; Syeleviste­r Che Che (30) dari Sg. Kabara, Niah; Faizul Johara (35) dari Ladang Tiga, Jalan Miri-Bintulu; Herman Lay (39) dari Taman Bandar Jaya, Bintulu dan Aidil Firdaus Hassan (39) dari Rejang Park, Sibu telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan kes, kesemua tertuduh telah dituduh dengan sengaja mencederak­an Nieleson Digat Reji, 25, dengan bersenjata­kan sebatang kayu, yang mana senjata yang digunakan itu (kayu) boleh menyebabka­n kematian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama beberapa orang yang masih bebas pada jam 2 petang, 7 Februari lalu di hadapan pos pengawal Niah Palm Oil Mill, Ladang 3 Batu Niah.

Di hadapan mahkamah, pihak pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangk­an kesemua tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah.

Pihak pendakwa turut mencadangk­an agar kesemua tertuduh dibebas dengan jaminan RM20,000 berserta dua penjamin tempatan dan membayar deposit RM10,000 setiap seorang dengan mengambilk­ira kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius hingga mencetuska­n perbalahan kaum di kalangan penduduk Batu Niah selepas kejadian tersebut.

Bagaimanap­un, ia dibantah oleh peguam bela tertuduh dengan alasan jumlah tersebut terlalu tinggi, sedangkan jaminan bertujuan untuk memastikan tertuduh hadir di mahkamah dan bukannya menghukum tertuduh sebelum mereka didapati bersalah.

Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff kemudian menetapkan 26 April depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Majistret Batu Niah.

Manakala kesemua tertuduh masing-masing diperintah­kan supaya dibebas dengan jaminan tunai RM5,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Mereka turut diperintah­kan supaya melapor diri di balai polis berhampira­n sekali sebulan sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan terutama pengadu dalam kes ini.

Sementara dalam satu kes berkaitan, pengadu (mangsa) dalam kes di atas turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan mencederak­an seorang pengawal keselamata­n ladang berkenaan.

Nieleson Digat Regi, 25, dari Rumah Lingu, Sungai Pakut, Bekenu telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh dengan sengaja menyebabka­n kecederaan ke atas Razali Rahim, 25.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.45 petang, 7 Februari lalu di hadapan pos pengawal Niah Palm Oil Mill, Ladang 3 Batu Niah.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 26 April depan untuk pengurusan kes di Mahkamah Majistret Batu Niah.

Manakala tertuduh yang diwakili peguam bela Roland Engan diperintah­kan dibebas dengan jaminan tunai RM3,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terdiri daripada Mohd Fillany Siji, Rishan Kumar Ragandaran dan Muhammad Nor Sollihin Salleh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia