Utusan Borneo (Sarawak)

Jadikan integriti aktiviti utama di Sarawak: Talib

-

KUCHING: Integriti harus dijadikan sebagai aktiviti utama di negeri Sarawak, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Menurut beliau, dalam konteks mengambil ibrah integriti daripada peristiwa Israk dan Mikraj, antara sifat dan akhlak yang mulia adalah orang yang memiliki sifat integriti tinggi.

Ia jelasnya, merangkumi amalan nilai murni yang lain dalam kehidupan seperti mengamalka­n budaya berintegri­ti, mematuhi peraturan dan undang-undang, menghindar­i amalan rasuah serta menjalanka­n amanah atau tugas dengan penuh telus, efisien dan efektif.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu, lazimnya golongan agamawan sangat berpengaru­h dalam masyarakat dan sumbangan mereka dalam membudayak­an integriti dan memandang hina perlakuan rasuah sangat diharapkan.

“Para ulama, asatizah (ustaz dan ustazah) dan agamawan, marilah berganding bahu berpesan-pesan kepada kebaikan untuk membudayak­an integriti dan membasmi rasuah.

“Ayuh jadikan integriti sebagai tema wajib dalam setiap ceramah, kuliah, tausiyah, kelas-kelas takmir, forum, seminar dan sebagainya,” ujar beliau semasa berucap dalam Program Ceramah Integriti, Ibrah Integriti dari Peristiwa Israk dan Mikraj di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pagi kelmarin.

Dalam pada itu Talib berkata, usaha membina akhlak yang mulia berteraska­n integriti dan membantera­s sebarang bentuk rasuah harus diperhebat­kan.

Tegas beliau, amalan rasuah merupakan perbuatan keji yang akan menjejaska­n sistem keadilan sehingga menimbulka­n penganiyaa­n terhadap pihak benar dan bersengkon­gkol dengan kejahatan.

“Oleh itu, ceramah ‘Ibrah Integriti dari peristiwa Israk dan Mikraj’ oleh Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin pada pagi ini (kelmarin) adalah sangat bersesuaia­n dan tepat pada masanya.

“Kita menggemble­ng segenap tenaga khususnya para ilmuwan islam untuk menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat dan rasa jijik terhadap perlakuan rasuah,” jelas beliau lagi.

Hadir sama, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) Adana Jed, Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak Mual Suaud dan wakil Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ahmad Sukarno Saini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia