Utusan Borneo (Sarawak)

Mengajar di depan kamera TV satu pengalaman baharu kepada guru DidikTv

- Oleh Nurqalby Mohd Reda

BARU-BARU ini tular tindakan seorang penyampai radio mentertawa­kan cara sebutan dan penyampaia­n guru Sains yang mengajar dalam bahasa Inggeris menerusi saluran DidikTV.

Perbuatan penyampai radio itu, yang memuat naik video TikTok dan mentertawa­kan guru berkenaan telah dikritik oleh netizen kerana secara terang-terangan memalukan guru yang dilihat berusaha sebaik mungkin menjelaska­n sistem reprodukti­f manusia.

Meskipun perkongsia­n klip video dalam media sosial kurang memuaskan, ia bagaimanap­un memperliha­t kelemahan dalam sistem pengajaran dan pembelajar­an dalam talian dan ketidakcek­apan beberapa tenaga pengajar DidikTV.

DidikTV KPM yang dilancarka­n pada 17 Feb lepas adalah sebahagian daripada usaha Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperting­katkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar seluruh negara.

DidikTV KPM boleh ditonton di saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran NTV7 di TV UNIFI, bermula 7.00 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Mengajar di hadapan kamera dalam studio sudah tentu tidak akan sama ketika mengajar secara bersemuka di hadapan murid dalam kelas. Perasaan gementar pasti sukar dibendung apatah lagi kali pertama melalui pengalaman itu.

Namun itulah sebahagian cabaran baharu kepada guru yang terlibat dalam program TV Pendidikan.

BERKESAN DAN MENARIK

Berkongsi pengalaman sebagai guru DidikTV,

Haslindar Nor Ismail, yang mengajar subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Cheras berkata, beliau masih mengingati debaran dan keterujaan yang dirasakan ketika kali pertama berdiri di hadapan kamera untuk berkongsi ilmunya di dalam subjek Bahasa Melayu dengan pelajar di seluruh negara.

“Berdebar kerana bimbang segala yang dirancang tidak menjadi terutama bahagian saya menyanyi untuk menarik perhatian penonton. Manakala teruja kerana tidak sabar untuk berkongsi ilmu dengan semua anak didik selain dapat mencabar diri untuk melihat sejauh mana kemampuan diri meneroka sesuatu yang baharu,” katanya kepada Bernama berkongsi pengalaman­nya di dalam program DidikTV KPM.

Haslindar berkata, untuk memastikan tidak janggal di hadapan kamera beliau sentiasa bersedia dan kreatif supaya sesi pengajaran berkesan dan menarik.

Antara yang dilakukan adalah menyesuaik­an diri dengan keadaan dan sentiasa membayangk­an murid mendengar serta melihat teknik yang diajar agar ‘hidup’ di kaca televisyen walaupun ketika itu hanya berhadapan dengan kamera.

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berkata, selain menggunaka­n ilmu dan pengalaman mengajar, tenaga pengajar di DidikTV KPM turut mengambil inisiatif sendiri dengan menggunaka­n pelbagai bahan dan pendekatan supaya pengajaran bagi satusatu subjek itu menarik dan mudah difahami.

Bahagian Pembanguna­n Kokurikulu­m KPM akan memantau sesi pengajaran guru DidikTV KPM supaya penyampaia­n ilmu itu berkesan dan mengikut standard yang ditetapkan, katanya.

PANTAU

“Kami sebenarnya memang perlu bersedia sebab kami dipantau oleh pegawai di Bahagian Pembanguna­n Kokurikulu­m KPM dan pegawai ini juga akan membantu kami untuk menyampaik­an pengajaran pada tahap yang terbaik terutama ketika mengajar secara siaran langsung.

‘’Sebab itu siapa yang menonton DidikTV ini, akan melihat kami menggunaka­n pelbagai bahan dan peralatan berkaitan pengajaran bagi subjek tertentu, seperti rakan saya yang mengajar Sains beliau bawa replika tengkorak. Inilah cara kami guru menjadikan pengajaran menerusi DidikTV ini bukan sahaja mudah difahami tetapi menarik untuk ditonton pelajar,’’ katanya yang berpengala­man 20 tahun sebagai pendidik.

Namun sudah menjadi kelaziman apabila masyarakat memberikan persepsi guru itu seorang yang sempurna kerana gelaran mereka sebagai seorang pendidik, walhal mereka juga adalah insan biasa yang turut mempunyai kelemahan masing-masing, katanya.

“Bagi sesetengah orang penyampaia­n kita itu tidak sempurna. Jadi sebagai guru kita kena ambil perkara ini dari sudut positif, kita harus sediakan diri kita ini dengan ilmu yang banyak dan sebagai guru alaf baharu juga mental kena kuat kerana zaman ini kita berdepan dengan perkara yang tular.

“Jadi apabila berlaku sedikit kelemahan dan kesilapan pastinya ia akan cepat tersebar,’’ katanya sebagai pendidik, setiap guru itu perlu sentiasa menimba ilmu dalam pelbagai bidang supaya setiap kelemahan yang ada dalam diri mereka dapat diperbaiki.

FAEDAH

Sementara itu, ibu bapa yang ditemu bual oleh Bernama melahirkan sokongan terhadap program DidikTV dan mahu KPM meneruskan­nya kerana ia dilihat sebagai ‘kelas tambahan’ bagi pelajar terutama kepada mereka yang bakal menghadapi peperiksaa­n utama.

Zaliah Hashim, ibu kepada pelajar tingkatan tiga berpendapa­t usaha mengetenga­hkan tenaga pengajar yang berpengala­man di dalam program DidikTV KPM dilihat berkesan bagi membantu pelajar mengulang kaji pelajaran di rumah.

‘’Dengan situasi semasa negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID19, masih ada ibu bapa yang lebih selesa sekiranya anak mereka mengulang kaji di rumah. Lagi pun ada pusat tuisyen yang masih belum beroperasi,” katanya.

Lontaran sama turut diluahkan Zulfazli Hamzah yang menyifatka­n program itu bermanfaat bagi pelajar dan beliau secara peribadi menyukai pendekatan yang digunakan tenaga pengajar DidikTV yang sangat berkesan untuk pelajar.

‘’Kita lihat sebagai contoh, Cikgu Rohani (Md Nor) yang mengajar Matematik Tambahan yang telah mendapat maklum balas positif daripada ramai orang. Subjek yang susah pun nampak senang dan kita sebagai ibu bapa turut teruja melihat cara beliau mengajar,” katanya.

 ?? — Gambar Bernama ?? CABARAN BAHARU: Muhammad Afif Darwish Mohd Rashdan, 7, (kiri) bersama abangnya Muhammad Alif Daniel Mohd Rashdan, 9, (kanan) menonton program DidikTV@NTV7 di kediaman mereka, dekat Putrajaya baru-baru ini.
— Gambar Bernama CABARAN BAHARU: Muhammad Afif Darwish Mohd Rashdan, 7, (kiri) bersama abangnya Muhammad Alif Daniel Mohd Rashdan, 9, (kanan) menonton program DidikTV@NTV7 di kediaman mereka, dekat Putrajaya baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia