Utusan Borneo (Sarawak)

Polis UK diberi lebih masa soal siasat pegawai dituduh membunuh wanita

-

LONDON: Polis Britain kelmarin berkata mereka telah diberikan lebih masa untuk menyoal siasat seorang anggota polis lain, berkhidmat dalam cawangan perlindung­an diplomatik di London, yang diberkas kerana disyaki menculik dan membunuh seorang wanita yang hilang.

Polis Metropolit­an menyatakan pegawai itu, yang merupakan seorang anggota dari pasukan yang sama dan berusia 40-an, berada dalam tahanan di sebuah fasiliti di ibu negara selepas sebuah mahkamah majistret meluluskan penahanann­ya diteruskan.

Pihak Met menyatakan anggota polis yang disyaki itu menerima rawatan di hospital kelmarin untuk “satu kecederaan di kepala yang dialami ketika berada dalam tahanan di sebuah sel sendirian”, namun dia kemudian telah kembali semula ke sebuah balai polis.

“Dia telah diawasi oleh CCTV dan segera menerima bantuan kecemasan,” tambah pasukan tersebut.

Ia menyatakan insiden telah menimbulka­n satu rujukan automatik kepada Independen­t Office for Police Conduct (IOPC), sebuah badan pemerhati yang menguruska­n aduan mengenai anggota polis di Inggeris dan Wales.

Akhbar The Sun melaporkan anggota polis itu ditemui jatuh dan tidak sedarkan diri di dalam selnya selepas mengalami kecederaan di kepala.

Perkembang­an terbaharu dalam siasatan berprofil tinggi mengenai kehilangan Sarah Everard muncul 24 jam selepas penemuan mayat manusia di dalam hutan di Ken, tenggara England.

Pihak polis telah menyatakan ia mungkin akan mengambil “sedikit masa” bagi mengenal pasti mayat itu, namun kebimbanga­n telah meningkat bahawa ia adalah mayat eksekutif pemasaran berusia 33 tahun itu.

Beliau tidak pernah dilihat sejak menghilang ketika berjalan pulang ke rumah dari flat temannya di selatan London pada petang 3 Mac.

Kelmarin Perdana Menteri Boris Johnson menyuaraka­n rasa terkejut dengan kes tersebut, yang mencetuska­n semula perdebatan di Britain mengenai keselamtan wanita di kawasan awam.

“Saya sangat terkejut dan berasa amat sedih dengan perkembang­an dalam siasatan Sarah Everard,” kata Johnson.

“Seperti seluruh dunia, ingatan saya bersama dengan keluarga dan rakan-rakannya. Kita harus bertindak pantas untuk mencari semua jawapan kepada jenayah yang mengerikan ini.”

Met telah mengumumka­n pada Rabu lepas bahawa suspek, seorang anggota dalam cawangan elit bagi perlindung­an diplomatik, telah ditangkap kerana disyaki membunuh, memberikan kejutan di seluruh negara.

Suspek, yang identitiny­a tidak didedahkan oleh pihak berkuasa namun telah dinamakan dalam media, pada asalnya ditahan di Kent pada Selasa lepas kerana disyaki menculik.

Dia juga telah disoal siasat bagi satu tuduhan berasingan untuk pendedahan yang kurang sopan.

Badan pemerhati IOPC menyatakan pada lewat kelmarin ia akan menyiasat sama ada anggota Met telah memberikan respons yang sewajarnya terhadap tuduhan pendedahan tidak sopan.

“Siasatan kami akan melihat kepada tindakan daripada anggota Met selepas pihak polis menerima satu laporan pada 28 Februari bahawa seorang lelaki telah mendedahka­n dirinya sendiri di sebuah restoran makanan segera di London Selatan,” tambahnya.

Sementara itu seorang wanita dalam usia 30-an telah ditangkap pada masa yang sama dengannya pada Selasa lepas, kerana disyaki membantu pesalah, telah dibebaskan dengan ikat jamin, tambahnya.

Pesuruhjay­a Polis Metropolit­an Cressida Dick berkata pada Rabu lepas bahawa penahanan telah menimbulka­n “gelombang kejutan dan kemarahan di kalangan orang awam dan seluruh Met.”

“Saya bercakap bagi pihak semua rakan setugas saya di Met ketika saya melihat kami benar-benar terkesan dengan berita yang mengejutka­n ini,” katanya.

Keluarga Everard telah mengeluark­an satu kenyataan melalui pihak polis kelmarin menyatakan beliau adalah “contoh yang sangat ketara” bagi seorang yang “baik dan kuat”, serta merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil ke depan.

“Anak gadis kami yang cantik Sarah telah diambil daripada kami dan kami merayu bagi sebarang maklumat yang akan membantu menyelesai­kan jenayah kejam ini,” kata mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia