Utusan Borneo (Sarawak)

Guna bas persiaran seludup 31 pendatang asing tanpa izin

-

KOTA BHARU: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup menggunaka­n bas persiaran di dua sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Belimbing dan Lalang Pepuyu, Tanah Merah, kelmarin.

Komander AKSEM Kelantan Rusli Karim berkata, pendatang warga Thailand dan Myanmar berumur 17 hingga 50-an itu ditahan sepasukan anggotanya semasa melaksanak­an penugasan Ops Benteng.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai sebuah bas persiaran membawa warga asing yang diseludup masuk dari negara jiran melalui sebuah pangkalan haram di Sungai Golok.

“Seramai 14 lelaki warga Thailand ditahan di dalam sebuah bas persiaran berdekatan SJR Lalang Pepuyu,

Tanah Merah, pada 2.30 petang kelmarin. Warga asing berumur lingkungan 30 hingga 50-an ini dipercayai akan dibawa ke Teluk Intan, Perak untuk bekerja dalam sektor perikanan.

“Turut ditahan, seorang pemandu bas lelaki warga tempatan berumur 30-an yang disyaki berperanan sebagai penghantar kumpulan warga asing ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Rusli berkata, susulan kejayaan tangkapan pertama, pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan telah menjalanka­n satu lagi operasi dan berjaya menahan sebuah bas di Kampung Belimbing, Tanah Merah, malam kelmarin.

“Pasukan operasi berjaya menahan 17 warga Myanmar di dalam bas tersebut pada jam 11.30 malam kelmarin. Turut ditahan seorang pemandu warga tempatan berumur 40-an. “Berdasarka­n maklumat, semua pendatang ini dibawa dari Klang, Selangor untuk dihantar ke sempadan Malaysia-Thailand. Siasatan mendapati ada sebahagian daripada mereka memiliki pasport tetapi memasuki negara ini melalui laluan tidak sah dan pas lawatan tamat tempoh,” katanya.

Rusli berkata, pihaknya percaya ada sindiket terancang yang menguruska­n kemasukan dan perjalanan PATI itu dari Klang ke Kelantan dan siasatan lanjut akan dilakukan.

“Dua pemandu bas tersebut kini ditahan bersama bas persiaran atas kesalahan Akta Antipemerd­agangan Orang Dan Antipenyel­udupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala 31 lelaki warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002.

“Kes akan diserahkan kepada JIM Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia