Utusan Borneo (Sarawak)

Malaysia ketandusan pemimpin wanita?

-

KUALA LUMPUR: Peranan wanita kian berubah seiring dengan peredaran masa dan golongan ini berupaya menggalas tanggungja­wab yang besar dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan progresif.

Namun, satu tinjauan ringkas mengenai pemimpin pelapis pilihan pembaca yang dijalankan media tempatan baru-baru ini telah menimbulka­n persoalan apabila tiada nama pemimpin wanita disenaraik­an sebagai pilihan untuk mengambil alih tampuk pemerintah­an negara.

Adakah wanita masih kurang diberi perhatian dalam arena politik tanah air, pentadbira­n kerajaan mahupun dalam bidang-bidang penting, sekali gus penerimaan wanita masih konservati­f dalam kalangan masyarakat berbanding lelaki?

Pakar Gender Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata, walaupun beberapa jawatan penting di Malaysia diisi golongan wanita tetapi masih terdapat jurang perbezaan statistik dan persepsi rakyat Malaysia mengenai penglibata­n wanita dalam bidang-bidang tertentu.

Beliau berkata, hanya lapan atau 18 peratus daripada 43 jawatan tertinggi kerajaan seperti Ketua Setiausaha kementeria­n atau pengarah sesebuah kementeria­n yang diisi di negara ini dipegang oleh kaum hawa.

“Bagaimanap­un, apabila dibandingk­an dengan laporan Grant Thornton Internatio­nal Business Report (IBR), wanita merangkumi 33 peratus jawatan dalam pengurusan kanan dalam syarikat swasta di Malaysia. Terdapat perubahan di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan

Malaysia itu memperinci­kan Indeks Jurang Gender Global 2020 yang menunjukka­n penglibata­n wanita agak menurun iaitu jatuh tiga anak tangga (104) berbanding 2019 dan katanya, ia menjelaska­n terdapat kelemahan dan wujudnya jurang gender di negara ini.

Justeru, Dr Jamaluddin yang pernah berkhidmat sebagai Pakar Gender Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menegaskan kesaksamaa­n gender bukan bermaksud 50/50 iaitu angka wanita dan lelaki adalah sama atau separuh.

Menurut kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang dikeluarka­n Jabatan Perangkaan Malaysia, penyertaan wanita masih rendah iaitu 55.6 peratus pada 2019 jika dibandingk­an dengan Singapura (69.1 peratus).

Mengulas mengenai penglibata­n wanita dalam dunia politik negara, penganalis­is politik dan perundanga­n Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, politik di Malaysia terikat dengan struktur organisasi sebuah parti politik yang mempunyai kuota tersendiri merangkumi wanita, pemuda dan puteri.

Oleh itu, beliau berkata sudah tiba masanya bagi sayap wanita setiap parti politik untuk lebih lantang dalam permintaan bagi menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebenarnya ramai pemimpin wanita yang berkaliber, ramai berpotensi menjadi calon pilihan raya dan memegang jawatan kanan dalam kerajaan. Jadi, kuota yang diagihkan parti politik itu perlu disemak semula,” katanya.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamata­n dan Hal Ehwal Antarabang­sa Majlis Profesor Negara itu berkata politik tanah air memerlukan anjakan paradigma dalam memilih calon pilihan raya dan menyemak semula agihan mengikut sayap supaya selaras dengan keadaan semasa.

Beliau juga berpandang­an bahawa pemimpin ‘warga emas’ perlu digantikan dengan pemimpin muda atau wanita bagi mentadbir negara.

Malaysia mempunyai 33 ahli Parlimen wanita daripada 222 secara keseluruha­n iaitu 14.9 peratus.

Sementara itu, Pegawai Kanan Advokasi Pertubuhan Pertolonga­n Wanita (WAO) Rusni Tajari berkata golongan wanita masih berdepan stereotaip yang dibebankan kepada mereka yang tugas dan peranan wanita terbatas di rumah.

Beliau berkata, ‘toksik maskulinit­i’ iaitu budaya kepimpinan yang berunsurka­n lelaki juga masih berleluasa dan masyarakat menganggap hanya lelaki sahaja yang boleh menjadi pemimpin organisasi atau negara.

Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat apabila kes keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender semakin meningkat sepanjang tahun lepas.

“Statistik WAO menunjukka­n pihaknya menerima 1,442 panggilan talian keganasan domestik pada Januari hingga Oktober 2020 manakala 1,496 aduan diterima menerusi applikasi WhatsApp, Think I Need Aid (TINA) bagi masalah yang sama. Ia meningkat berbanding 579 (panggilan) dan 816 aduan menerusi TINA pada 2019,” tegasnya.

Beliau mendedahka­n wanita yang masih dilihat lemah dan sering ditindas adalah daripada kategori golongan B40 dan minoriti seperti Orang Asli dan pelarian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia