Utusan Borneo (Sarawak)

Nelayan Port Dickson resah pendapatan terjejas akibat projek pelabuhan minyak

-

PORT DICKSON: Hampir 400 nelayan di sini menyuaraka­n keresahan berikutan sumber pendapatan mereka semakin terjejas akibat pembanguna­n projek pelabuhan minyak di perairan laut Port Dickson yang dipercayai dimulakan sejak dua bulan lepas.

Tinjauan pemberita di perairan berkenaan mendapati bot nelayan hanya dibenarkan menjalanka­n aktiviti perikanan sejauh kira-kira satu kilometer dari pembinaan projek itu sekali gus menyebabka­n nelayan tidak dapat menjalanka­n aktiviti tangkapan secara meluas.

Pengerusi Persatuan Nelayan Port Dickson, Mohd Zulkifli Mohd Taib berkata, pelaksanaa­n projek itu bukan sahaja menyebabka­n kawasan aktiviti tangkapan ikan di kawasan itu semakin terhad malah memusnahka­n habitat marin.

“Ia juga akan merosakkan batu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan sekali gus menyebabka­n ikan semakin berkuranga­n. Bagi memulihkan semula batu karang itu bukan mudah kerana memakan masa tujuh hingga 10 tahun.

“Kami bukan menghalang sebarang pembanguna­n di situ, tetapi sedikit demi sedikit kawasan tangkapan kami diambil malah tidak dibenarkan memasuki kawasan berdekatan projek berkenaan. Ini menyukarka­n kami mencari rezeki,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perairan itu di sini, semalam.

Mohd Zulkifli berkata, sehingga kini pihaknya tidak mengetahui status pampasan bernilai RM6.5 juta yang diminta pihaknya berikutan projek berkenaan boleh menjejaska­n pendapatan nelayan selamalama­nya selain berharap jika diteruskan projek itu perlu ada ‘situasi menangmena­ng’ antara kedua-dua belah pihak.

Mengulas lanjut, Mohd Zulkifli berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan perbincang­an dengan beberapa pihak termasuk Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Bakri Sawir.

“Kami inginkan pembelaan dan sangat berharap semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesai­kan masalah ini,” katanya.

Bagi nelayan, Mohamad

Amin Rahim, 28, berkata, kebanyakan nelayan juga mengalami kerugian dan menghadapi risiko akibat kemusnahan jaring ikan yang dilanggar kapal di pelabuhan minyak berkenaan.

“Kami menghadapi risiko seperti peralatan menjaring ikan tersangkut dan dilanggar kapal yang melalui kawasan terbabit selain peralatan nelayan juga akan tersangkut pada boya yang dipasang syarikat terbabit,” katanya sambil menambah pendapatan­nya kini tidak menentu iaitu di bawah RM1,500 sebulan.

Dalam pada itu, Bakri ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan ke lokasi untuk mengenal pasti situasi sebenar pada 22 Mac ini selain akan berbincang dengan jabatan tertentu untuk menyelesai­kan perkara berkenaan.

“Sebelum ini kami sudah pun berbincang dengan nelayan dan bermesyuar­at bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Laut, Majlis Perbandara­n Port Dickson dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Selepas segala penilaian selesai, kami akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia