PSG ditewaskan Nantes gagal lonjak tangga teratas
PARIS: Paris Saint Germain terlepas peluang melonjak ke tangga teratas Ligue 1 Perancis pada Ahad selepas dikejutkan 1-2 oleh Nantes di tempat sendiri, sekali gus membolehkan Lille mengekalkan pendahuluan liga walaupun seri tanpa jaringan di Monaco.
PSG, juara bertahan liga, mempunyai peluang memintas Lille ke tangga teratas liga dengan perbezaan gol tetapi gol Randal Kolo dan Moses Simon memadam pendahuluan PSG pada masa rehat, yang dijaringkan oleh Julian Draxler untuk kekalahan keempat di tempat sendiri musim ini.
Lille kekal di tangga teratas dan berkelebihan tiga mata berbanding PSG dan Lyon, yang juga hanya mampu seri di Reims pada perlawanan hari Jumaat.
Nantes semakin meningkat peluang mengelak penyingkiran musim ini dengan kemenangan kelima mereka dan kini satu mata dari zon selamat.
Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino melakukan lima pertukaran dari skuad yang menewaskan Barcelona untuk layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan pasukannya boleh mendahului pada awal permainan.
Rembatan Angel Di Maria pada minit ke-11 diselamatkan penjaga gol Alban Lafont dan tidak lama selepas itu, Marquinhos mempunyai peluang tetapi tandukannya dari tendangan sudut Draxler tersasar walaupun tidak dikawal pertahanan Nantes.
Nantes mula meningkatkan permainan selepas itu dan memikirkan mereka seharusnya diberikan penalti pada minit ke-20 apabila Presnel Kimpembe mengasari Randal Kolo dalam kotak penalti tetapi tidak diendahkan pengadil.
Dan 10 minit kemudian, penjaga gol PSG, Kaylor Navas menepis satu cubaan Ludovic Blas sebelum PSG akhirnya menemui rentak.
Kylian Mbappe mempunyai ruang untuk melakukan cubaan tetapi lemah dan Rafinha menguji Lafont dengan satu rembatan dari hujung kotak penalti.
Draxler akhirnya membuka jaringan tiga minit sebelum rehat apabila merembat bola muntah untuk menewaskan Lafont.
Bagaimanapun, Nantes mengikat kedudukan pada minit ke-59 ketika beberapa kekeliruan di benteng pertahanan PSG yang akhirnya menyebabkan Di Maria dikeluarkan – dengan Pochettino mengekori pemain itu ke terowong pemain – ketika Kolo merampas umpanan kepada Mbappe sebelum melakukan rembatan ke pintu gol.
Gol itu menyentak keyakinan PSG dan mereka mula hilang fokus, membolehkan Nantes menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 apabila Moses Simon menyempurnakan hantaran Kolo. Mereka bagaimanapun terpaksa menunggu beberapa minit sebelum panel video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan tidak berlaku sebarang ofsaid ketika gol dijaringkan.
Jurulatih Nantes, yang juga bekas pemain PSG, Antoine Kombouare, kemudian melihat pasukannya bertahan kental pada akhir permainan untuk mengesahkan kemenangan berharga.
Lille mengekalkan kedudukan di tangga teratas dengan aksi hambar di Monaco.
Monaco kekal tujuh mata di belakang Lille di tangga keempat selepas gagal meningkatkan peluang dalam saingan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Mereka kekal empat mata di belakang Lyon yang berada di tangga ketiga liga, slot terakhir kelayakan ke Liga JuaraJuara untuk Ligue 1.
Keputusan seri bagaimanapun melanjutkan tempoh 11 perlawanan liga tanpa kalah untuk Lille atau sejak dri awal bulan Januari. — AFP