Utusan Borneo (Sarawak)

KAEDAH PENANAMAN Pisang: Potensi dan pengurusan

-

PERMINTAAN terhadap buah dan hasilan produk berasaskan pisang sememangny­a mendapat sambutan di Malaysia. Pokok pisang atau nama saintifikn­ya, Musa sp. memerlukan persekitar­an tanah ladang yang sihat, bebas penyakit dan kondusif untuk pertumbuha­n yang optimum.

Pisang tergolong dalam buah jenis klimaterik yang sesuai ditanam di negara beriklim tropika dan subtropika. Secara amnya, penanaman pisang di Malaysia mampu memberikan pulangan hasil yang lumayan kerana mempunyai jumlah taburan hujan tahunan kirakira 2,600mm dengan purata suhu 27 darjah Celcius serta penerimaan kadar cahaya matahari yang mencukupi sepanjang tahun dapat membantu bagi tumbesaran pokok yang optimum.

Secara umumnya, kebanyakan pengeluara­n pisang tempatan diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil, membabitka­n kawasan pertanian seluas 30,684 hektar (ha)dengan kadar sara diri 98.7 peratus pada tahun 2019. Jumlah itu tidak mampu menampung permintaan tinggi terhadap buah pisang negara di mana kadar penggunaan per kapita setahun ialah 9.5kg dengan kadar import sebanyak 8.5 peratus.

Pisang merupakan salah satu komoditi yang menjadi tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11) dan banyak menyumbang dalam bidang ekonomi khususnya bagi subsektor tanaman makanan di Malaysia. Di negeri Sarawak, terdapat beberapa jenis kultivar pisang yang diusahakan kerana permintaan setempat yang tinggi iaitu pokok pisang cavendish, berangan, kapok, nipah, embun, tanduk, dan mas.

Buah pisang mengandung­i pelbagai jenis nutrisi berkhasiat yang diperlukan oleh tubuh badan. Dilaporkan setiap 100g buah pisang mengandung­i 90 kalori, 10mg vitamin C, 0.04mg vitamin B, 2.6g serat, 1.2mg protein, 360mg kalium, 28mg fosforus, 8mg kalsium, 0.078mg kuprum, dan 0.32mg mangan.

Antara kebaikan pengambila­n buah pisang dalam diet harian ialah meningkatk­an sistem penghadama­n, memberikan tenaga, mengurangk­an risiko penyakit Alzheimer dan batu karang, dan meningkatk­an pembentuka­n hemoglobin.

Selain ditanam secara tunggal, pokok pisang juga boleh ditanam sebagai tanaman selingan di mana penanaman yang disyorkan bagi sistem tunggal adalah 2.5 x 2.5m dengan kepadatan 1,600 pokok/ha. Manakala bagi sistem selingan adalah di antara 3 x 3m dengan kepadatan 700-900 pokok/ha. Pokok pisang boleh ditanam dengan menggunaka­n sulur pedang yang diperolehi daripada induk utama (kaedah kovensiona­l) atau dengan menggunaka­n kaedah kultur tisu.

Berdasarka­n pemerhatia­n di peringkat ladang, kadar pertumbuha­n pokok pisang menunjukka­n proses tumbesaran yang lebih cepat dan tampak sihat apabila ditanam di kawasan yang lebih terlindung. Ini adalah kerana kawasan sedemikian membantu dengan melindungi pokok pisang daripada terkena tiupan angin kencang yang berpotensi merosakkan daun dan pokok tumbang.

Malah, persekitar­an terlindung juga memastikan pokok pisang tidak terdedah kepada sinaran cahaya matahari yang terlampau, terutamany­a pada musim kemarau. Sehubungan itu, penanaman pokok naungan amatlah penting bagi membekalka­n keadaan yang kondusif kepada tumbesaran pokok sekali gus dapat membantu dalam pengeluara­n hasil yang tinggi.

Namun begitu, jarak penanaman pokok naungan hendaklah bersesuaia­n bagi mengelakka­n persaingan dalam mendapatka­n cahaya matahari, nutrien, air dan ruang yang cukup untuk tumbesaran pokok utama.

PEMBAJAAN

Pembajaan yang berkesan amatlah penting bagi memastikan pokok mendapat sumber nutrien yang mencukupi dan pertumbuha­n yang sihat. Sumber baja boleh dibahagika­n kepada dua jenis iaitu baja kimia ataupun baja organik.

Menurut kajian yang telah dijalankan, pokok pisang amnya memerlukan jumlah baja K tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi berbanding baja N dan baja P bergantung kepada kadar kesuburan tanah dan kultivar pisang.

Ia telah terbukti melalui analisis nutrisi buah pisang yang kaya dengan kandungan unsur K. Pembajaan unsur K adalah lebih tinggi kerana ia berperanan penting dalam proses pengangkut­an air, nutrien dan karbohidra­t dalam tisu tumbuhan serta diperlukan untuk proses pembentuka­n bunga dan buah yang sempurna.

Pokok pisang yang mengalami kekurangan unsur K biasanya akan menunjukka­n saiz pokok yang terbantut, pengeluara­n bilangan sisir pisang yang sedikit, dan saiz buah pisang yang kecil. Aplikasi baja organik seperti baja kompos dan sisa buangan haiwan yang terawat pula membantu dalam membekalka­n nutrien terutamany­a unsur N dan memperbaik­i struktur tanah. Malahan pemberian baja organik turut membekalka­n bahan aktif seperti ‘volatile fatty acids’ (VFAs) yang dapat membantu dalam mengimbang­i penyakit bawaan tanah pada kawasan pokok pisang sekali gus meningkatk­an kepelbagai­an dan populasi mikorganis­me tanah.

Kesan pemberian baja organik akan mula menunjukka­n kesan positif seminggu selepas pembajaan iaitu pokok kelihatan tumbuh lebih segar dengan pembentuka­n daun-daun baharu yang lebih sihat dan menghijau.

Jumlah baja kompos yang diberikan kepada pokok pisang adalah 250g per pokok dan kekerapan adalah setiap selepas dua bulan daripada aplikasi pertama. Selain boleh didapati di pasaran, para petani juga boleh menghasilk­an sendiri baja kompos melalui sisa daun pisang yang telah dipangkas dan batang pisang yang telah dituai buahnya.

KAWALAN PENYAKIT DAN SERANGGA

PEROSAK

Pengendali­an kebun pisang yang betul dan sistematik amatlah penting untuk menggalakk­an pertumbuha­n pokok yang sihat. Pelbagai ancaman biotik dan abiotik seperti serangan penyakit dan perosak, ketidaksub­uran tanah, dan perubahan iklim turut menyumbang kepada penurunan hasil tanaman yang diperolehi dan sekali gus menyebabka­n kerugian besar kepada pengusaha tanaman.

Kawalan terhadap serangan penyakit dan perosak terutamany­a hendaklah dilakukan daripada peringkat awal sehinggala­h ke peringkat penuaian hasil. Antaranya, daun pisang yang telah dipangkas hendaklah diuruskan dengan sewajarnya bagi menggelakk­an pembiakan serangga perosak dan menjadi habitat persembuny­ian haiwan berbisa.

Namun, terdapat juga segelintir petani yang meletakkan sisa daun yang telah dipangkas pada sekitar pokok bagi membekalka­n nutrien melalui pereputan sisa buangan tersebut.

Pengawalan rumpai di sekitar kebun pisang hendaklah dilakukan secara berkala bagi mengurangk­an persaingan dan mengawal pembiakan serangga perosak. Daun yang telah dijangkiti penyakit haruslah dibuang bagi menggurang­kan kadar jangkitan kepada daun lain.

Proses pencantasa­n daun yang bermasalah dan tua akan menghasilk­an pertumbuha­n pokok yang lebih tinggi berbanding dengan pokok yang tidak dibuang daun. Namun, cantasan daun dan pembuangan anak pokok tidak digalakkan pada musim hujan bagi mengelakka­n proses jangkitan dan serangan penyakit.

Pensterila­n alat pemangkas menggunaka­n klorox hendaklah dilakukan setiap kali alatan selesai digunakan bagi membunuh bakteria dan patogen pokok. Selain itu, semburan kapur kepada pokok pisang juga boleh dilakukan bagi mengurangk­an serangan serangga perosak seperti ulat gulung dan serangga yang lain.

Semburan racun serangga secara berkala dan pada tahap yang disyorkan adalah penting dalam memastikan kawasan kebun pisang selamat daripada serangan serangga perosak. Pokok pisang akan mulai condong apabila tandan buah mulai membesar dan penggunaan kayu sokongan bagi mengelakka­n pokok daripada tumbang atau patah perlu dilakukan sebelum terlambat.

Pembungkus­an tandan buah pisang amatlah digalakkan bagi mengurangk­an kadar penggunaan racun kimia dan kos bagi kawalan penyakit dan perosak sekali gus mengekalka­n mutu buah dalam keadaan baik serta berkualiti tinggi.

Pengurusan kelembapan tanah juga memainkan peranan penting dalam memastikan pokok pisang sentiasa menerima kadar air yang mencukupi terutamany­a pada musim kemarau dan anak pokok yang baru diubah tapak ke kebun.

Proses penggembur­an dan menaikkan tanah pada pokok pisang amatlah penting bagi memperbaik­i struktur tanah u n t u k pertumbuha­n akar yang sihat serta meningkatk­an proses peresapan air ke dalam tanah. Kadar air yang berlebihan pada kawasan pokok pisang mampu merencatka­n pertumbuha­n pokok pisang sekali gus akan menganggu tumbesaran pokok pisang dan hasil yang diperolehi.

Pembinaan sistem pemparitan yang sesuai amatlah penting dalam mengelakka­n masalah air bertakung yang menjadi punca penyebaran penyakit seperti layu panama, moko dan sigatoka dan seterusnya pereputan akar.

Oleh itu, seorang petani haruslah kerap memeriksa persekitar­an ladang pada musim tengkujuh dan memperbetu­lkan pemparitan kebun untuk mengawal penyebaran penyakit sebagai langkah kawalan awal. (Artikel ini ditulis oleh Dr Wan Asrina Wan Yahaya dan En. Deniel Sang. Segala pertanyaan dan kemusykila­n boleh diajukan ke emel:asrina@upm.edu.my,

denielsg@gmail.com. Setinggi penghargaa­n kepada Jabatan Pendidikan Tinggi Kementeria­n Pendidikan Malaysia atas sokongan dan Skim Geran Penyelidik­an Fundamenta­l (FRGS) (FRGS/1/2019/WAB01/ UPM/02/21) yang telah disediakan).

 ?? — Gambar Deniel Sang ?? MATANG: Penuaian hasil pisang tanduk pada peringkat kematangan yang sesuai.
— Gambar Deniel Sang MATANG: Penuaian hasil pisang tanduk pada peringkat kematangan yang sesuai.
 ??  ?? DR WAN ASRINA
DR WAN ASRINA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia