Utusan Borneo (Sarawak)

Cheng Hoe panggil 28 pemain sertai kem latihan skuad Harimau Malaya

-

KUALA LUMPUR: Pemain naturalisa­si baharu negara, Guilherme de Paula antara muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari, bermula Isnin depan di Johor Bahru.

Selain pemain Perak FC itu, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), penjaga gol Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) juga merupakan antara muka baharu dalam senarai 28 pemain.

Bagaimanap­un, dua pemain yang berkelana di luar negara, Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal tidak dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat skuad berkenaan.

Cheng Hoe berkata pemain naturalisa­si kedua negara, Liridon yang beraksi bersama Newcastle Jets di Liga Australia (Liga-A) dan Junior yang beraksi bersama Chonburi FC di Liga 1 Thailand, tidak dipanggil kerana kesukaran tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke negara berkenaan.

“Lagipun saya melihat kedua-dua pemain ini sedang meningkatk­an persembaha­n dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu ini. Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai latihan pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand,” katanya menerusi kenyataan kelmarin.

Safawi Rasid pula tidak disenaraik­an kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM FC, Sabtu lalu.

Kem itu adalah sebagai persiapan menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.

Cheng Hoe juga mengekalka­n seramai 17 pemain dari skuad 23 pemain ketika dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini, iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 Nov 2019.

Sebanyak enam pemain, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC) diletakkan dalam senarai simpanan.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata Johor Bahru dipilih sebagai lokasi latihan pusat kali ini kerana kemudahan lengkap yang dimiliki JDT adalah bertaraf dunia dan yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.

“Fasiliti JDT merupakan sebuah pusat latihan berprestas­i tinggi dan sudah tentu saya mengharapk­an sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting.

“Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

“Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah menjejas persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan serba lengkap ini,” jelasnya.

Beliau berkata tempoh sembilan hari itu cukup penting untuk meningkatk­an semula persefaham­an para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang kerana tidak banyak masa apabila berkumpul pada Mei nanti.

“Jadi kesempatan yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitah­u pemain tentang perancanga­n kita pada Mei nanti supaya semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia