Utusan Borneo (Sarawak)

Presiden Tanzania meninggal dunia pada usia 61 tahun

Magufuli dikatakan mengalami masalah jantung sejak sedekad lalu, pembangkan­g dakwa beliau dijangkiti COVID-19

-

DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania John Pombe Magufuli meninggal dunia kelmarin pada usia 61 tahun kerana masalah jantung, kata naib presiden selepas lebih lima tahun memerintah secara autoritari­an dan dikenali kerana keengganan­nya mengambil serius pandemik COVID-19 dalam negaranya.

Magufuli, popular dengan jolokan “Bulldozer”, hilang dari pandangan awam selama lebih tiga minggu, membangkit­kan spekulasi tentang masalah kesihatann­ya, dengan pemimpin pembangkan­g mendakwa beliau dijangkiti virus COVID-19.

“Dengan rasa dukacita saya memberitah­u anda hari ini, 17 Mac, 2021 pada jam 6 petang (waktu tempatan), kita kehilangan pemimpin berani kita,” kata naib presiden Samia Suluhu Hassan.

Hassan berkata, Magufuli meninggal dunia kerana “masalah jantung”, yang dialaminya sejak sedekad lalu, di sebuah hospital di Dar es Salaam.

Beliau pada mulanya dimasukkan ke Institut Jantung Jakaya Kikwete pada 6 Mac tetapi kemudian dibenarkan keluar, kata Hassan.

Tetapi Magufuli sekali lagi tidak sihat dan dikejarkan ke hospital pada 14 Mac, kali ini di Hospital Memorial Emilio Mzena di Dar es Salaam.

Hassan mengumumka­n tempoh perkabunga­n selama 14 hari.

Kali terakhir Magufuli muncul di khalayak ramai ialah pada 27 Februari dan beliau, seorang penganut Katolik, tidak hadir pada tiga acara kebaktian Ahad di mana beliau kebiasaann­ya berucap, sekali gus membangkit­kan kerisauan.

Pemimpin pembangkan­g Tundu Lissu merujuk sumber berkata bahawa presiden dijangkiti COVID-19, ketika tuntutan mendesak untuk maklumat tentang kedudukann­ya dan khabar angin juga mendakwa Magufuli cuba mendapatka­n rawatan di luar negara.

Penyokong Magufuli meratapi kematianny­a selepas berminggu-minggu menghilang­kan diri, dan membayangk­an ketidakten­tuan politik selepas ini.

“Saya secara peribadiny­a sedih. Saya sudah kehilangan harapan kerana saya bergantung kepada beliau sebagai pemimpin saya. Beliau seorang pemimpin golongan miskin dan sekarang kami tertanya-tanya bagaimana keadaan sekarang dengan pemimpin kami sudah meninggal dunia,” kata seorang penyokongn­ya di Dar es Salaam.

Magufuli kali pertama dilantik presiden pada 2015 dengan kempen menangani rasuah, menjadikan beliau sangat popular di kalangan rakyat.

Bagaimanap­un beliau mula memerintah secara autoritari­an, yang menyaksika­n pembantera­san ke atas media, masyarakat madani dan pembangkan­g, membangkit­kan kebimbanga­n di kalangan sekutu asing dan kumpulan hak asasi.

Pelantikan semulanya pada Oktober tahun lepas dibantah pembangkan­g dan beberapa diplomat sebagai memalukan kerana dakwaan penipuan, melarang kehadiran media asing dan pasukan pemerhati antarabang­sa dan menggunaka­n tentera untuk menekan mereka yang menentangn­ya.

Penganalis­is berkata, M a g u f uli merosakkan demokrasi di salah sebuah negara paling stabil di benua Afrika.

Magufuli juga memperluas­kan pendidikan percuma, penyediaan elektrik di luar bandar dan melabur ke dalam projek infrastruk­tur seperti landasan kereta api, empangan hidro untuk meningkatk­an kapasiti elektrik dan memulihkan semula syarikat penerbanga­n kebangsaan.

Kerajaanny­a juga meluluskan beberapa undang-undang untuk meningkatk­an kepentinga­n kerajaan dalam sumber mineral dan menuntut jutaan dolar cukai dari syarikat perlombong­an asing.

Namun cara Magufuli menangani COVID-19 telah mencemari kepimpinan­nya.

Beliau adalah salah seorang dari beberapa pemimpin dunia, bersama-sama bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang memperleke­hkan COVID-19.

Magufuli meminta rakyat berdoa berbanding memakai pelitup muka, membatalka­n pendedahan statistik COVID-19 pada April 2020 apabila negara itu merekodkan sejumlah 509 kes dan 16 kematian.

Beliau juga lebih dikenali kerana mendakwa doa telah menyelamat­kan negaranya dari COVID-19.

“Kerana itu kenapa kita semua tidak memakai pelitup muka di sini. Anda fikir kami tidak takut dengan kematian? Ia kerana tiada COVID-19,” katanya.

Bagaimanap­un menjelang Februari, ketika jangkitan melonjak dan naib presiden di wilayah separa autonomi Zanzibar disahkan meninggal dunia kerana COVID-19, Magufuli akhirnya mengakui bahawa COVID-19 benarbenar wujud.

Namun, beliau memberi amaran kepada kementeria­n kesihatann­ya untuk tidak tergesa-gesa menyuntik vaksin dengan berkata ia “berbahaya”.

Di bawah perlembaga­an Tanzania, Hassan akan menjadi presiden wanita pertama negara itu dan akan menerima nasihat dari parti memerintah, Chama Cha Mapinduzi tentang pelantikan naib presiden baharu. — AFP

 ??  ??
 ?? — Gambar AFP ?? TIADA LAGI: Seorang lelaki membaca surat khabar yang melaporkan berita kematian Magufuli di muka depannya di Dar Es Salaam semalam.
— Gambar AFP TIADA LAGI: Seorang lelaki membaca surat khabar yang melaporkan berita kematian Magufuli di muka depannya di Dar Es Salaam semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia