Utusan Borneo (Sarawak)

Jumlah pendaftara­n program imunisasi COVID-19 sangat baik

-

KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftara­n untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebanyak 5,867,497 setakat tengah malam kelmarin adalah sangat baik memandangk­an negara masih berada pada Fasa 1 program itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, secara purata, 200,000 hingga 300,000 individu mendaftar untuk program imunisasi setiap hari dan yakin angka itu akan terus meningkat apabila keseluruha­n jentera pendaftara­n digerakkan.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengetuai sesi libat urus dengan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menggalakk­an pendaftara­n dibuat.

“Komunikasi juga sedang dipertingk­atkan supaya lebih banyak maklumat dapat disampaika­n kepada rakyat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara dalam talian semalam.

Beliau berkata buat masa ini, masih terdapat jurang yang jelas antara jumlah pendaftara­n mengikut negeri apabila negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang masih menunjukka­n kadar pendaftara­n yang sangat rendah berbanding negeri-negeri lain.

Ahmad Amzad berkata, rakyat Malaysia secara umumnya tidak menolak vaksin sebaliknya masih ramai mengambil sikap tunggu dan lihat kerana masih kurang yakin dengan keselamata­n dan kestabilan vaksin.

“Orang ramai (ingin) melihat realiti sebenar, apabila lebih daripada 367,000 orang pada Fasa 1 telah menerima suntikan dan semalam suntikan kedua telah pun bermula...tiada insiden alahan teruk dan sebagainya, rakyat akan menjadi bertambah yakin dan lebih ramai akan mendaftar,” katanya.

Selain itu, antara inovasi kementeria­n untuk memudahkan pendaftara­n ialah menaik taraf aplikasi MySejahter­a supaya orang ramai boleh mendaftar tanggungan mereka menerusi aplikasi itu menjelang Fasa 2 program itu bulan depan.

Beliau berkata, program itu yang dilancarka­n 24 Februari lepas bermatlama­t untuk melindungi masyarakat umum termasuk golongan yang tidak boleh menerima vaksin melalui pembentuka­n imuniti kelompok dan kerajaan menyasarka­n 80 peratus penduduk negara ini diberi vaksin dalam tempoh setahun.

“Apabila kita telah capai imuniti kelompok ini, Malaysia akan berada di landasan untuk membuka kembali ekonomi dan rakyat kembali hidup seperti biasa,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai untuk memainkan peranan mereka menjayakan program imunisasi itu dengan menyebarka­n maklumat yang benar dan sahih serta membantu keluarga serta masyarakat lain untuk mendaftar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia