Utusan Borneo (Sarawak)

PEMERKASA suntik semangat rantaian sektor pelanconga­n, seni dan budaya: Nancy

-

PUTRAJAYA: Fokus kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) terhadap kelangsung­an industri pelanconga­n dapat menyuntik semangat semua pihak yang terlibat dalam rantaian sektor pelanconga­n, seni dan budaya di negara ini, kata Menteri Pelanconga­n, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, Kementeria­n Pelanconga­n, Seni dan Budaya (MOTAC) yakin kesungguha­n kerajaan menerusi inisiatif ‘Merangsang Semula Sektor Pelanconga­n dan Peruncitan’ yang dirangka dalam PEMERKASA dalam memastikan kelangsung­an industri pelanconga­n khasnya.

MOTAC, katanya merakamkan penghargaa­n kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelaksanaa­n PEMERKASA yang menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakka­n pertumbuha­n ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.

“Walaupun kita sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19, kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan semua pihak yang berada dalam rantaian ekonomi berkaitan dengan sektor pelanconga­n seperti penginapan, pengangkut­an, makanan dan minuman, agensi pelanconga­n, aset-aset warisan seni dan budaya serta pengurusan acara di negara ini diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Melalui PEMERKASA, industri pelanconga­n antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19, diberi beberapa insentif bagi mengurangk­an beban dan menyokong pemulihan sektor itu.

Antaranya, pelanjutan pengecuali­an cukai pelanconga­n dan cukai perkhidmat­an ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel hingga 31 Disember 2021 dan pelanjutan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelanconga­n hingga tahun taksiran 2022.

Turut diberikan ialah kebenaran penangguha­n pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember ini yang diberikan kepada syarikat industri pelanconga­n dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

Selain itu, memberi pengecuali­an duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembaha­n pentas, acara sukan dan pertanding­an serta tayangan filem pawagam di Wilayah Persekutua­n.

Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk meliputi perbelanja­an pembelian pakej pelanconga­n melalui ejen pelanconga­n yang berdaftar dengan MOTAC; dan memberi pengecuali­an levi Tabung Pembanguna­n Sumber Manusia (HRDF) bagi syarikat sektor pelanconga­n dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh hingga Jun 2021.

Kerajaan juga bersetuju menyalurka­n Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelanconga­n yang berdaftar dengan MOTAC dan menyediaka­n bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha rumah inap yang berdaftar dengan MOTAC, yang dijangkaka­n memanfaatk­an lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

Untuk membantu aliran tunai dan mengurangk­an kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat belibelah, pejabat syarikat penerbanga­n tempatan dan agensi pengembara­an dan pelanconga­n, pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus dilanjutka­n selama tiga bulan lagi hingga 30 Jun 2021.

Nancy berkata, beliau juga menyokong kenyataan Perdana Menteri untuk membenarka­n pergerakan rentas negeri secara berperingk­at, malah mewujudkan ‘special green lane’ bagi perjalanan rentas sempadan yang melibatkan pengangkut­an udara apabila sudah ramai mengambil vaksin. — Bernama

 ??  ?? NANCY
NANCY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia