Utusan Borneo (Sarawak)

Sembunyi 900kg daun ketum dalam dinding kabin lori

-

JELI: Polis berjaya membongkar taktik dua lelaki cuba menyeludup 900 kilogram (kg) daun ketum yang disembunyi­kan di dinding bahagian muatan belakang lori yang diubah suai menggunaka­n papan lapis berdekatan Kampung Batu 6, Batu Melintang, dekat sini, Selasa.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, ASP Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, sepasukan anggota yang melakukan penugasan sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah menahan sebuah lori dinaiki dua lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun pada jam 1.45 pagi.

Beliau berkata, lori itu dari arah Gerik ke Jeli itu mempunyai surat kebenaran merentas negeri bagi perkhidmat­an keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanak­an.

“Hasil pemeriksaa­n ke atas kedua-dua badan suspek, polis tidak menjumpai barang salah namun curiga dengan bentuk fizikal lori berkenaan yang telah diubah suai.

“Pemeriksaa­n lanjut terhadap lori berkenaan khususnya pada ruang belakang dalam kabin lori itu mendapati tiada muatan namun dinding papan lapis kelihatan mencurigak­an seperti telah diubah suai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sini, semalam.

Nik Ahmad Kamil berkata, anggota polis telah membuka salah satu papan lapis tersebut dan menemukan di dalamnya dipenuhi dengan balutan cerah yang setiap satunya diikat dengan gegelang getah disyaki daun ketum.

“Hasil bukaan kesemua dinding kabin lori itu mendapati ia dipenuhi dengan susunan daun ketum seberat 900kg bernilai RM9,000,” katanya.

Beliau berkata, taktik itu merupakan pertama kali berlaku di negeri ini bagi menggaburi mata pihak berkuasa.

“Bekalan daun ketum itu diperoleh dari Sik, Kedah untuk pasaran Kelantan dan negara Thailand, malah hasil soal siasat kedua-dua suspek mengaku mengambil upah RM500 bagi setiap penghantar­an.

Nik Ahmad Kamil berkata, kedua-dua suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah direman selama empat hari sehingga hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Lori itu yang didaftarka­n untuk perkhidmat­an logistik turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek sebelum ini pernah ditangkap di Gerik pada 20 Januari lalu berkaitan dengan kes penyeludup­an daun ketum,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia