Utusan Borneo (Sarawak)

SK Abang Ali, SK St Mary di Sibu ditutup

-

SIBU: Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) memaklumka­n bahawa dua sekolah ditutup mulai semalam berikutan peningkata­n kes di zon lokaliti sekolah tersebut iaitu SK Abang Ali dan SK St Mary.

Dalam kenyataann­ya semalam JPBBS berkata, kedua-dua sekolah tersebut terletak di Zon 9 Awang Ramli Amit dan Zon 10 Kampung Dato yang menjadi Zon Merah setelah peningkata­n kes baru-baru ini dari Kluster Jalan Awang dengan kumulatif 52 kes dan Kluster Jalan Kampung Hilir dengan kumulatif 43 kes.

Penutupan ini jelasnya lagi, adalah sehingga tamat cuti pertengaha­n penggal pada 4 April depan.

“SK Methodist pula ditutup selama dua hari untuk aktiviti disinfeksi sekolah dan saringan COVID-19 kontak dalam kalangan guru-guru dan pelajar sekolah.

“Ini berikutan seorang guru yang telah didapati positif setelah menjalani ‘Rapid Test Antigen’ di fasiliti swasta dan telah dimasukkan ke Hospital Sibu,” ujarnya.

JPBBS memberitah­u, seramai 78 kontak dalam kalangan guru dan pelajar telah dikenal pasti dan akan menjalani ujian calitan esok dan lusa.

Bagaimanap­un tegasnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak lain yang bukan kontak kes untuk menjalani saringan di Klinik Kesihatan Lanang.

Menurutnya lagi, prosedur operasi standard (SOP) pengendali­an kes COVID-19 untuk sekolah-sekolah yang mempunyai kes di kalangan guru atau pelajar adalah penutupan sehari atau dua untuk tujuan disinfeksi dan siasatan dan bukan selama 14 hari.

“Kontak rapat di sekolah tersebut akan disaring dan diminta untuk isolasi atau kuarantin oleh Jabatan Kesihatan, di mana persekolah­an untuk pelajarpel­ajar tersebut boleh diteruskan melalui pembelajar­an secara dalam talian.

“Pelajar bukan kontak kes boleh datang ke sekolah seperti biasa,” jelasnya lagi.

Pada masa ini juga katanya, kehadiran ke sekolah adalah tidak diwajibkan.

“Jika ibu bapa merasakan tidak selamat untuk menghantar anak ke sekolah pada masa ini, mereka boleh meminta PdPR iaitu pengajaran dan pembelajar­an di rumah.

“JPBBS ingin mengingati semua bahawa SOP hendaklah dipatuhi terutamany­a SOP di sekolah.

“Marilah bersama-sama menghentik­an penularan COVID-19,” tambahnya lagi.

 ??  ?? LANCAR: Operasi ACD secara besar-besaran di Kampung Hilir pada hari kedua, semalam.
LANCAR: Operasi ACD secara besar-besaran di Kampung Hilir pada hari kedua, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia