Utusan Borneo (Sarawak)

Penyertaan belia dalam MAIPK satu pengiktira­fan bersejarah

-

IPOH: Penyertaan dua belia sebagai ahli baharu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) adalah satu pengiktira­fan bersejarah buat golongan itu sebagai pihak berkepenti­ngan untuk samasama membincang­kan dasar dalam usaha meningkatk­an kemajuan masyarakat Islam di negeri ini.

Bagi Wan Mohammad Afiq Wan Arisfatill­ah, 23, pelantikan selaku ahli MAIPk adalah sejarah tidak ternilai dan memberi peluang kepada mereka menyuaraka­n pendapat serta cadangan kepada kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di Perak.

“Jadi, dengan penglibata­n kami, Insya-Allah kami akan mengangkat martabat Islam dalam kalangan remaja di Perak dengan mendekati mereka selain berusaha mengimarah semula masjid dan surau dan lain-lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wan Mohammad Afiq adalah pelajar tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan juga Naib Presiden (Remaja) pertubuhan Gerakan Belia 4B Malaysia.

Wan Mohammad Afiq juga adalah ahli Parlimen Belia Malaysia peringkat kebangsaan dan negeri selain dilantik sebagai Ketua Unit Sukarelawa­n Projek Gerak Dakwah Perkampung­an Orang Asli Pos Perwor, Kampung Kelatap, Sungai Siput.

Seorang lagi ahli baharu MAIPk Ezatul Farita Rohawi, 33, yang mewakili belia wanita berkata beliau gembira diberikan peluang untuk bersama-sama MAIPk yang diterajui ahli berwibawa dan berpengala­man luas dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu.

Beliau yang berkhidmat sebagai Eksekutif Jaminan Kualiti di sebuah syarikat multinasio­nal di Hutan Melintang adalah graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Makanan (Minor Kualiti dan Keselamata­n Makanan) dari Universiti

Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Selain pernah menjadi ahli Dewan Belia Negeri Perak bagi sesi 2017-2019, beliau juga bergiat aktif sebagai aktivis belia di dalam pertubuhan belia bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjun­g (GPMS)

Ezatul Farita adalah Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan, Naib Pengerusi Wanita GPMS Negeri Perak dan juga Yang Dipertua GPMS Cawangan Bagan Datuk.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan menyampaik­an watikah pelantikan kepada Wan Mohammad Afiq dan Ezatul Farita selaku ahli MAIPk mewakili belia pada Majlis Pengurniaa­n Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Syariah Negeri Perak serta Ahli MAIPk di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.

Sultan Nazrin dalam ucapannya bertitah bahawa ini adalah kali pertama baginda memperkena­n lantikan belia sebagai ahli MAIPk dengan mengambil iktibar daripada pelbagai sumber berhubung peranan penting golongan remaja dalam mencipta sejarah.

Baginda bertitah langkah itu bertujuan menjadikan program dianjurkan atas nama Islam lebih relevan sehingga dapat menarik penyertaan lebih ramai remaja untuk berjinak dalam aktiviti di masjid dan program berbentuk Islamik.

Selain dua penerima itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaik­an watikah kepada 12 hakim iaitu tiga yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Utama Syariah, tujuh sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, serta masing-masing satu sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Ketua Pendaftar Mahkamah Utama Syariah.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri Perak dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia