Utusan Borneo (Sarawak)

KPKT salur peruntukan RM5 juta kepada Majlis Perbandara­n Sepang

-

SEPANG: Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk projek berskala kecil dan baik pulih infrastruk­tur di kawasan pentadbira­n Majlis Perbandara­n Sepang (MPS) antaranya untuk baik pulih medan selera dan pembanguna­n kawasan pelanconga­n.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata dalam taklimat bersama MPS, terdapat pembentang­an untuk membina dan menaik taraf beberapa medan selera di Sepang serta keperluan menaik taraf dan membaik pulih infrastruk­tur kawasan pelanconga­n di sekitar Sepang dalam usaha menarik kedatangan pelancong apabila pandemik COVID-19 reda.

“Ini memang fokus KPKT apabila turun padang kerana kita nak beri peruntukan yang akan membantu peniaga tempatan untuk memulakan perniagaan dan meningkatk­an aktiviti ekonomi di kawasan tersebut,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke kawasan MPS dan Pangsapuri Kenanga, Putra Perdana, dekat sini semalam.

Yang Dipertua MPS Datuk Abd Hamid Hussain yang turut hadir berkata menerusi peruntukan RM5 juta itu, MPS bercadang untuk membina medan selera baharu di Pusat Penjaja, Taman Mas Puchong yang menelan kos RM1.5 juta.

Selain itu, katanya ia juga akan digunakan untuk membaik pulih medan selera di Pantai Bagan Lalang yang musnah dalam kebakaran

Isnin lepas melibatkan lima gerai dan membaik pulih pasar awam yang rosak dilanda ribut pada 7 Mac lepas.

Mengenai lawatannya ke Pangsapuri Kenanga itu, Zuraida berkata KPKT bersetuju untuk meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi kerja-kerja mengecat 16 blok bangunan di kawasan perumahan itu.

“Lokasi pangsapuri ini terletak bersebelah­an lebuh raya, jadi imej bangunan ini mestilah nampak cantik,” katanya.

Beliau berkata KPKT juga bersetuju meluluskan peruntukan RM600,000 di bawah Tabung Penyelengg­araan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk membaik pulih jalan-jalan berlubang di sekitar pangsapuri tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia