Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Kluster Tanjung Genting diisytihar di Daerah Meradong

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak semalam mengisytih­arkan satu lagi kluster baharu COVID-19 di Daerah Meradong, Sarikei.

Timbalan Ketua Menteri DatukAmar Douglas Uggah Embas berkata, kluster itu adalah Kluster Tanjung Genting, Meradong.

Kluster itu merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah penempatan di Tanjung Genting, Sungai Mador, Daerah Meradong di dalam Bahagian Sarikei.

“Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-12,133 yang dikesan melalui saringan individu bergejala.

“Kes merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 66 tahun yang telah mengalami demam sejak 8 Mac 2021 dan telah menjalani saringan RTK Antigen di fasiliti kesihatan swasta dan didapati reaktif ujian RTK Antigen pada 10 Mac 2021,” katanya pada sidang media harian COVID19 di sini, semalam.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS), kes indeks yang bekerja di sebuah kedai makan di Sungai Mador, Meradong itu kemudian telah dirujuk ke Hospital Sarikei.

“Ujian rT-PCR yang dijalankan pada 10 Mac 2021 mendapati kes ini positif COVID-19.

“Hasil aktiviti penyiasata­n lanjut dan pengesanan kes secara aktif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes indeks tersebut, seramai 21 tambahan kes baharu telah dikesan positif COVID-19 termasuk tiga kes dilaporkan pada hari ini,” katanya.

Tambah beliau, sejumlah 66 individu telah disaring di mana 22 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks; 39 kes telah didapati negatif dan lima kes masih menunggu keputusan.

“Kesemua 22 kes telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasinga­n dan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 45 kluster diisytihar­kan di Sarawak bagi tahun 2021.

“Hari ini (semalam), kluster yang masih aktif adalah sebanyak 35 kluster di mana seramai 64,046 individu telah disaring dan sebanyak 5,783 didapati positif dan 57,001 negatif untuk saringan kali kedua.

“Sementara sebanyak 1,262 masih menunggu keputusan makmal. Daripada 35 kluster yang masih aktif hari ini (semalam), sebanyak tujuh kluster yang melaporkan terdapat penambahan kes.

“Manakala 28 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitah­u Daerah Marudi semalam, telah bertukar status daripada Hijau kepada Kuning setelah satu kes jangkitan tempatan baharu dikesan di daerah itu.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning meningkat kepada 17 Daerah.

“Manakala 12 Daerah iaitu Sri Aman, Song, Serian, Subis, Julau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu kekal berstatus Merah.

“Bagi 3 daerah iaitu Samarahan, Bau dan Sarikei pula kekal berstatus Jingga dan 8 lagi daerah lain kekal berstatus Hijau,” katanya.

Daerah status hijau itu ialah Pakan, Matu, Lawas, Daro, Simunjang, Lubok Antu, Tebedu dan Kabong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia