Utusan Borneo (Sarawak)

Kepimpinan tentera di Myanmar digesa pilih penyelesai­an yang aman: Muhyiddin

-

KUALA LUMPUR: Kepimpinan tentera di Myanmar digesa supaya mengubah haluan semasa, dan memilih jalan ke arah penyelesai­an yang aman, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dalam satu kenyataan malam kelmarin berkata, Malaysia menyuaraka­n rasa kebimbanga­n serius terhadap keadaan tragik di Myanmar sejak berlaku rampasan kuasa tentera pada 1 Februari.

Beliau berkata, rata-rata anggota komuniti ASEAN tidak sanggup melihat negara saudaranya Myanmar menjadi tidak stabil, berada dalam genggaman beberapa orang terpilih, yang berhasrat untuk mengetenga­hkan kepentinga­n sendiri.

“Sekali lagi, Malaysia mengulangi gesaan kami yang konsisten terhadap semua pihak yang berkaitan, untuk bekerjasam­a ke arah penyelesai­an aman dalam krisis ini.

“Kami akan terus menyokong dialog inklusif bagi peralihan politik, dan menggesa semua pihak untuk kembali ke meja rundingan, mencari remedi terhadap krisis ini, dan mengelak sebarang ketegangan yang memuncak,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi tujuan itu, beliau juga meminta supaya pemimpin politik yang ditahan, dibebaskan dengan segera tanpa syarat, termasuk Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi dan Presiden U Win Myint, yang ditahan dengan sewenang-wenang sejak 1 Februari lepas.

Muhyiddin turut menyokong penuh kenyataan Presiden Indonesia Joko Widodo kelmarin, yang menyeru supaya diadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN, bagi menangani keadaan di Myanmar.

Sementara itu, Muhyiddin berkata apa yang jelas adalah pergelutan politik semasa di negara itu hanya menjadikan rakyat biasa sebagai mangsa.

“Keadaan ini tidak ada tempat dalam nilai-nilai kepercayaa­n, hati nurani dan budaya kita. Ia bertentang­an dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN, yang kita di ASEAN komited untuk mempromosi dan lindungi, agar keamanan, keselamata­n dan kemakmuran untuk rantau kita terjamin,” katanya.

Muhyiddin turut menyuaraka­n rasa terkejut dengan penggunaan kekerasan serius yang berterusan terhadap orang awam tidak bersenjata, yang mengakibat­kan sejumlah besar kematian dan kecederaan, serta penderitaa­n di seluruh negara.

Bagi pihak rakyat Malaysia, Muhyiddin turut menyampaik­an ucapan takziah yang mendalam dan tulus kepada semua rakyat Myanmar yang kehilangan orang yang mereka sayangi, dan yang menjadi mangsa akibat krisis politik semasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia