Utusan Borneo (Sarawak)

Kanak-kanak perempuan maut dipercayai lemas selepas hanyut

-

KUANTAN: Seorang kanakkanak perempuan maut dipercayai akibat lemas selepas dihanyutka­n arus semasa mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Nur Syakirah Shahrizan, 12, dipercayai lemas sekitar jam 10.15 pagi, sebaik sahaja dia bersama dua adik lelakinya turun ke sungai, sebelum mayatnya ditemui 10 minit kemudian.

Mangsa yang tinggal di Inderapura di sini, lebih 40 kilometer dari Sungai Lembing, difahamkan bertolak ke sungai tersebut bersama ibu bapa dan lima adikberadi­knya untuk berkelah sekitar 8.30 pagi semalam.

“Mangsa dan dua adiknya dikatakan tenggelam sebaik sahaja turun ke sungai dan bapa mereka bergegas menyelamat­kan mereka, namun hanya sempat menarik dua adiknya manakala mangsa dihanyutka­n arus.

“Orang awam dan penduduk kampung yang berada di situ juga cuba membantu sebelum mereka menemukan mayat mangsa dan menyerahka­nnya kepada bapa mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Noor berkata, bapa mangsa yang juga seorang guru, telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing, namun Nur Syakirah disahkan telah meninggal dunia.

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Mohd Hakim Faqih Norazmi yang disyaki lemas di Sungai Pahang, Kampung Loyang di Temerloh kira-kira 141 kilometer dari sini, seminggu lepas ditemui semalam.

Ismail berkata, mayat Mohd Hakim Faqih ditemui tersangkut pada bahagian sangkar ikan pada 12.45 tengah hari, kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Hakim Faqih disyaki lemas pada 14 Mac lepas selepas didakwa dihanyutka­n arus semasa mahu menyelamat­kan anak saudaranya, Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, yang hanyut semasa mereka mandi di sungai tersebut.

Bagaimanap­un, mayat Mohammad Naufal Farhan telah ditemui pada 10.33 pagi, sehari selepas kejadian (15 Mac).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia