Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNHEP tahan lelaki siar karya filem menerusi Telegram tanpa kebenaran pemilik

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menahan seorang lelaki kerana disyaki telah menyebabka­n karya filem dipertunju­kkan di hadapan awam tanpa kebenaran pemilik hak cipta di media sosial Telegram.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumahnya di Seremban, Negeri Sembilan yang turut disertai wakil pemilik hak cipta setelah risikan selama kira-kira dua minggu.

“Dalam serbuan itu, KPDNHEP turut merampas beberapa barang milik suspek berupa barangan peralatan komunikasi dengan nilai rampasan dianggarka­n mencecah RM5,000.

“Lelaki itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (3) Akta Hak Cipta 1987 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Azman turut menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau mengedarka­n mana-mana karya hak cipta termasuk filem, lagu, buku berbentuk digital dan sebagainya menerusi Internet atau media sosial tanpa kebenaran pemilik hak cipta.

“Pihak kementeria­n memandang serius perlakuan ini walaupun ia hanya dibuat sekadar untuk tujuan keseronoka­n.

“Pengguna juga disarankan agar menyalurka­n maklumat kepada kementeria­n ini dengan melaporkan sebarang kegiatan cetak rompak melalui talian utama 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcemen­t Command Centre (ECC) atau WhatsApp di talian 019-279 4317 atau di http://e-aduan. kpdnhep.gov.my atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampira­n supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia