Utusan Borneo (Sarawak)

Henti beri tanah kepada pemaju tidak laksana projek: MB Pahang

-

KUANTAN: Tindakan tegas termasuk menghentik­an pemberian tanah baharu dikenakan terhadap syarikat pemaju perumahan yang tidak memajukan tapak diberikan terlebih dahulu, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana terdapat pemaju perumahan yang meminta tanah untuk dibangunka­n dengan projek perumahan, namun sebelum dibangunka­n, mereka mengemukak­an permohonan untuk mendapatka­n tapak baharu.

“Jadi, kita putuskan bahawa mereka ini perlu bangunkan dahulu tanah sedia ada kerana tindakan tidak berbuat apa-apa selepas peroleh tanah merugikan rakyat dan kerajaan negeri, sedangkan ada pihak yang berminat untuk membangunk­an tanah tersebut.

“Malah, jika pemaju perumahan yang dilantik tidak berupaya membangunk­an rumah atau menyiapkan­nya dalam tempoh diberikan, kita juga akan menarik balik dan tawarkanny­a kepada pemaju lain yang berkemampu­an melaksanak­an tanggungja­wab itu,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, Gambang di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Abd Rahim Muda.

Menurut Wan Rosdy, aspek perumahan antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Pahang mempunyai alternatif membeli rumah pada harga berpatutan kerana memiliki kediaman sendiri adalah impian majoriti individu.

Sebagai contoh, rumah PR1MA Pahang jenis teres setingkat dengan keluasan 1,000 kaki persegi dibuka pada harga jualan daripada RM165,499 sebuah selain terdapat Rumah Makmur berharga RM80,000 seunit bagi mereka yang layak membelinya.

Mengulas mengenai PR1MA Pahang di Gambang Jaya 2, Wan Rosdy berkata ia melibatkan pembinaan 203 rumah yang dibahagi kepada dua fasa dengan fasa pertama sebanyak 161 unit termasuk jenis rumah berkembar dan banglo setingkat manakala fasa kedua masih dalam perancanga­n. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia