Lee berpuas hati tahap pematuhan SOP di pejabat kerajaan
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, semalam melahirkan rasa puas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di pejabat-pejabat kerajaan.
Beliau yang telah mengadakan lawatan pemantauan pematuhan SOP COVID-19 bersama-sama agensi dan jabatan di bawah JPBB Miri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri pagi semalam, turut menyarankan beberapa perkara bagi meningkatkan keselesaaan pengunjung.
“Lawatan pada pagi ini dilakukan bagi melihat pengoperasian agensi-agensi kerajaan di UTC Miri dan memastikan segala SOP COVID-19 yang digariskan oleh kerajaan dipatuhi dengan ketat.
“Kita memerhati bahawa pematuhan SOP bagi setiap agensi pada hari ini adalah memuaskan,” ujar beliau.
Lee kemudian mencadangkan agar ruang laluan keluar bangunan UTC Miri diperbesarkan dengan mengalih satu barisan kerusi di hadapan.
Selain itu, beliau turut meminta agar satu unit kanopi ditambah bagi memberikan keselesaan kepada orang ramai yang menunggu.
Pengoperasian UTC Miri telah dibuka semula bermula 17 Mac lalu dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Agensi-agensi kerajaan yang beroperasi adalah Service Sarawak, Klinik Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sementara itu, orang ramai diminta membuat temu janji secara dalam talian terlebih dahulu untuk sebarang urusan dengan JPN dan JIM di UTC Miri.
Bagi urusan dengan JPN, orang ramai boleh melayari laman sesawang https:// mytemujanji.jpn.gov.my/ atau mengimbas kod QR yang dipaparkan di kaunter atau laman sesawang JPN.
Manakala bagi urusan dengan JIM, orang ramai terlebih dahulu diminta mendaftar temu janji secara dalam talian dengan melayari http://sto. imi.gov.my/e-temujanji/.
Turut hadir mengiringi Lee semalam ialah Datuk Bandar Adam Yii, wakil Pemangku Residen Bahagian Miri Rose Edward Tarang, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman serta kakitangan semua agensi penguat kuasa di bawah JPBB Miri.
Sementara itu, orang ramai diingatkan untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek SOP COVID-19 secara ketat.