60 kakitangan KKM, petugas barisan hadapan lain terima suntikan vaksin
TATAU: Seramai 60 orang merangkumi 18 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya petugas barisan hadapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menerima suntikan vaksin Pfizer BionTech dos pertama kelmarin.
Sejumlah 36 orang lagi menerima suntikan vaksin sama untuk hari kedua di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Dewan Sukan Tatau semalam.
Penerima vaksin pertama di Tatau ialah Pembantu Perawatan Kesihatan Klinik Kesihatan Kakus Uria Mering yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 dikendalikan Jururawat Masyarakat Klinik Kesihatan Tatau Doriana Enggu.
Proses pemvaksinan dua hari itu berjalan lancar turut dibantu sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu untuk pemberian dos kedua akan dilaksanakan pada 10 April 2021.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau PBT II Jankey Jikat antara 13 pegawai bomba Tatau yang menerima vaksin tersebut menyatakan mengenai tiada simptom buruk dialaminya selepas setengah jam menerima suntikan vaksin tersebut.
“Saya berharap rakanrakan, komuniti serta rakyat negara ini tidak takut untuk menerima vaksin kerana ia adalah selamat. Tanggungjawab kita semua adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19,” katanya semasa ditemui media kelmarin.
Christina Sutai Ramba yang merupakan kakitangan Pejabat Daerah Tatau pula menyatakan rasa syukur dan lega kerana disenaraikan dalam kumpulan pertama menerima suntikan vaksin tersebut kelmarin.
Beliau mengakui teruja apabila dimaklumkan tersenarai dalam kumpulan pertama tersebut sekali gus berharap dapat memberi keyakinan kepada rakan-rakan lain untuk menerima suntikan vaksin sama.
“Ini adalah tanda sokongan kita kepada usaha kerajaan dalam membanteras wabak COVID-19. Sayangi diri, keluarga serta masyarakat di sekeliling kita,” ujarnya.