SIAPAKAH SASTERAWAN NEGERI SARAWAK KELIMA?
PADA tahun ini, khabarnya bakal berlangsung majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak Ke-10. Bagi karyawan di Bumi Kenyalang, Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak merupakan sebuah acara sastera yang cukup berprestij dan amat dinanti-nantikan. Kali terakhir, majlis tersebut diadakan pada 27 Februari 2018. Pun begitu, pada tahun tersebut jawatankuasa panel memutuskan tiada calon yang dinilai, layak menerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak.
Keputusan tersebut telah mencetuskan polemik dalam kalangan penulis dan penggiat sastera Darul Hana. Di sisi yang lain, ada juga suara-suara nakal yang turut mempersoalkan kewibawaan serta cara kerja ahli jawatankuasa panel, dalam membuat penilaian dan keputusan. Walaupun begitu, suarasuara protes ini hanya berlegar dalam ruang media sosial seperti Facebook dan WhatsApps, serta tidak pernah dibincangkan secara serius, sama ada di akhbar mahupun di majlis wacana terbuka.
Selain itu, sebarang polemik tentu sekali tidak dapat mengubah keputusan muktamad yang telah diputuskan oleh panel penilai. Tambahan pula, jika diperhatikan senarai nama ahli-ahli jawatankuasa panel penilai, mereka kebanyakannya terdiri daripada Sasterawan Negara serta tokoh-tokoh sastera yang berwibawa dan berkepakaran. Kendatipun, untuk memutuskan tiada calon yang layak sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, pastinya bukan suatu keputusan yang mudah. Ibarat peribahasa Melayu ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.
Walaupun begitu, jika kita telusuri 27 tahun penganjuran Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak yang bermula pada tahun 1994, hanya terdapat empat orang penulis Sarawak yang telah mendapat pengiktirafan ini. Hal ini bermakna, dalam sembilan kali penganjuran, hanya terdapat empat orang penerima iaitu Allahyarham Muhammad Bujang pada tahun 1994,
Allahyarham Muhammad Rakawi Yusuf pada tahun 1995, Datu Dr Adi Badiozaman Tuah pada tahun 2009 dan Jong Chian Lai pada tahun 2014.
Manakala dalam penganjuran yang diadakan pada tahun 1997, 1998, 1999, 2001 dan 2018, tiada calon yang layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Tambahan pula, perkara ini turut dinyatakan secara jelas dalam perkara dua (2), syaratsyarat pemilihan penerima iaitu “Jika tiada calon yang layak pada tahun penilaian/pemilihan, maka tidak ada sasterawan yang menerima anugerah ini pada tahun tersebut’.
Sehubungan itu, bukan sesuatu yang janggal dalam penganjuran Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak, sekiranya panel hakim memutuskan tiada yang layak sebagai penerima. Di sisi yang lain, keputusan tersebut pastinya bukan kayu pengukur dalam menilai rendah mahupun tinggi darjat dan mutu karya penulis di negeri ini. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, semua persoalan tentang mutu dan keunggulan sesebuah karya, terletak di tangan pembaca termasuk ahli-ahli panel penilai. Justeru, setiap orang ada hak dan kewajaran untuk menerima dan menolak, mengikut pandangan dan pemikiran mereka pada ketika itu.
Ya, ini mungkin pandangan daripada seorang yang belum cukup syarat atau tidak layak untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak. Bagaimana pula dengan penulis prolifik yang lain? Dari segi syarat, mereka tentunya sudah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Urus Setia. Atau, adakah Sarawak ketandusan penulis yang berwibawa? Persoalanpersoalan inilah yang sering kali membuak dan mengocak jiwa karyawan Darul Hana, setiap kali penganjuran Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak.
Seandainya persoalan syarat-syarat pemilihan penerima menjadi penyebab kepada ketidaklayakan tersebut, maka aspek tersebut harus diberi perhatian oleh para penulis yang ingin berada di peringkat tersebut. Dalam brosur Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak kesepuluh, yang telah diedarkan pada tahun lepas, hanya terdapat dua syarat yang menyentuh tentang penulis dan karya. Tiga syarat lain lebih bersifat teknikal iaitu perlu ada pencalonan, tidak pernah menjadi penerima dan berstatus warganegara yang berasal dari Sarawak.
Bagi syarat yang menyentuh tentang penulis dan karya, pemilihan dibuat berdasarkan penghasilan atau penyiaran karyakarya yang dianggap besar, bermutu dan dapat menyumbang kepada pembangunan pemikiran masyarakat dalam tempoh atau jangka masa yang dinilai. Selain itu, pemilihan juga dilakukan berdasarkan sumbangan dan penglibatan calon dalam kegiatan sastera termasuk kejayaan memenangi anugerah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Berpandukan syarat-syarat di atas, jelas karyawan Sarawak tentunya sudah dapat mengukur baju di badan sendiri.
Pun begitu, syaratsyarat hanyalah panduan kepada urus setia, agar mudah dalam membuat penyaringan. Dalam beberapa hal, syarat juga boleh disesuaikan mengikut keadaan. Misalnya pengiktirafan di peringkat antarabangsa, berapa ramai penerima sedia ada yang telah mendapat pengiktirafan sekurang-kurangnya pada peringkat Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award). Sepanjang pengetahuan penulis, hanya seorang daripada empat orang penerima iaitu Jong Chian Lai yang pernah menerima anugerah tersebut.
Bagaimanakah pula dengan tiga orang penerima yang lain? Apakah kriteria yang melayakkan mereka? Persoalan-persoalan sebegini, sering kali meniti dari bibir ke bibir sepanjang sembang santai karyawan. Namun bagi penulis, para penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak sedia ada sememangnya berkelayakan, berdasarkan penghasilan, pengkaryaan dan sumbangan mereka dalam dunia kesusasteraan Darul Hana.
Penerima pertama iaitu Allahyarham Muhammad Bujang atau nama penanya Melati Sarawak, merupakan cerpenis awal Sarawak yang terkemuka sekitar penghujung tahun 1930-an. Beliau juga menjadi penulis Sarawak pertama yang mengirimkan karya-karya ke luar negara iaitu di akhbarakhbar di Tanah Melayu seperti Warta Malaya, Warta Jenaka dan Warta Ahad. Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada tahun 1930-an, Sarawak masih berada di bawah pemerintahan Rajah Vyner Brooke.
Manakala bagi penerima kedua ialah Allahyarham Muhammad Rakawi Yusuf. Beliau merupakan penulis novel Melati
Sarawak yang diterbitkan pada tahun 1931 dan
Hikayat Sarawak pada tahun 1932. Melalui novel
Melati Sarawak, Muhammad Rakawi Yusuf dilihat berjaya membangunkan pemikiran melalui kritikankritikan pedas beliau, terhadap gaya hidup orang Melayu Sarawak yang terpengaruh dengan budaya barat. Novel ini pernah dikupas oleh Philip L. Thomas pada tahun 1976 dan disiarkan dalam
Sarawak Museum Journal.
Bagi penerima ketiga pula ialah Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah. Dalam dunia kepenyairan, Adi Badiozaman merupakan penulis Sarawak yang pernah menghasilkan puisi-puisi bermutu pada era yang sama dengan penyair-penyair besar Malaysia seperti Usman Awang, A. Samad Said, Siti Zaiton Ismail, Muhammad Haji Salleh, Zurinah Hassan dan ramai lagi. Jika diukur dari sudut pencapaian, beliau merupakan satu-satunya penulis dari Sarawak yang berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan pada tahun 1980-an.
Sehubungan itu, usah terlalu cepat melatah, menghukum dan menuduh, sekiranya ada dalam kalangan penulis yang kita fikirkan layak, tidak dipertimbangkan sebagai penerima. Hakikat ini pernah dinukilkan oleh Muhammad Haji Salleh dalam Sajak-Sajak Sejarah Melayu “Aku orang muda terlalu cepat
menghukum, terlalu suka menuduh, sabar dulu, sehelai halaman kitab tidak menjadikan ulama, walaupun kau menghunus keris dan memaksa sekampung manusia memanggilmu demikian. Hidup perlukan usia, jangan terlalu tahu di waktu kau belum faham”.
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas tidak ada keraguan dari segi kelayakan para penerima yang terdahulu. Dari segi merit, mereka sememangnya telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Namun persoalannya sekarang, siapakah Sasterawan Negeri Sarawak kelima? Persoalan ini terlalu subjektif untuk dibincangkan, kerana jika disepadankan dengan syarat-syarat yang ditetapkan, ternyata ramai penulis Sarawak yang berkelayakan.
Pertama, sekiranya diukur dari sudut pengiktirafan di peringkat antarabangsa, di Sarawak kita sudah mempunyai calonnya iaitu Zainal Abidin Suhaili atau lebih dikenali sebagai Abizai. Beliau merupakan penulis Sarawak kedua selepas Jong Chian Lai, yang mendapat pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) dari kerajaan Thailand.
Daripada aspek pengkaryaan, Abizai merupakan antara penyair Sarawak yang berwibawa sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. Dalam kegiatan sastera, beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta merangkap Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Jika ditelusuri semua pencapaian Abizai, beliau sememangnya berkelayakan.
Kedua, sekiranya jumlah hasil penerbitan menjadi ukuran para panel penilai, terdapat beberapa orang penulis Sarawak yang saya fikirkan berkelayakan. Antara penulis yang aktif dalam penerbitan ialah Jais Sahok. Beliau telah menghasilkan banyak novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, kumpulan drama, buku umum, kamus, puluhan kritikan sastera dan sebagainya.
Dalam kegiatan sastera, beliau merupakan Ketua Satu pertama Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA). Di sisi yang lain, Jais Sahok tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis muda, melalui sesi randau sastera yang beliau anjurkan sendiri. Justeru, sekiranya justifikasi ini dilihat sebagai asas pemilihan, Jais Sahok sememangnya berkelayakan.
Selain Abizai dan Jais Sahok, terdapat beberapa nama penulis lain yang saya rasakan wajar untuk diberikan pengiktirafan seperti Saiee Driss, Jeniri Amir, Dahiri Saini, Abang Patdeli Abang Muhi, Jaafar Hamdan, Radzemah Bolhassan dan ramai lagi. Mereka antara penulis Darul Hana yang aktif dalam pengkaryaan dan gerakan sastera sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Jelas, Sarawak tidak pernah ketandusan penulis yang layak untuk diberikan pengiktirafan. Kini, terpulang kepada kebijaksanaan para panel penilai dalam memutuskan seseorang itu layak dan tidak layak untuk diangkat menjadi Sasterawan Negeri Sarawak Kelima. Sebagai penulis, tugas hakiki kita dalam menyebarkan ilmu dan nilai melalui pengkaryaan, seharusnya tidak terhenti dan terencat disebabkan pengiktirafan.
Dalam banyak hal, pengiktirafan boleh datang kemudian dan ada kalanya dihargai selepas kematian. Tambahan pula, dalam dunia kepengarangan, pengiktirafan dalam bentuk anugerah merupakan bonus kepada penulis. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tugas penulis adalah untuk menghasilkan seberapa banyak karya yang bermutu serta melibatkan diri dalam kegiatan sastera semasa.
Apalah erti sebuah anugerah, sekiranya tidak memberi impak kepada karyawan muda dan kegiatan sastera secara keseluruhannya. Sebagai ikon dalam dunia kepengarangan, penerima anugerah wajar menurunkan pengalaman kepengarangan mereka kepada penulis muda. Perkara ini penting, agar bakat-bakat muda ini dapat dipandu dan dilentur menjadi pelopor serta pewaris kesusasteraan Darul Hana.
Di sisi yang lain, dalam era media sosial sekarang, sebarang perkongsian ilmu dapat dilakukan secara dalam talian. Namun, apa yang sering kali kita lihat, hanyalah kekosongan yang panjang pasca penganugerahan. Penerima tetap dengan haluan hidupnya dan penulis muda tetap mencaricari idolanya yang hilang dalam dunia kemasyhuran. Apakah ini yang ingin kita tunjukkan kepada penulis muda?
Berdasarkan perbincangan di atas, jelas Sarawak mempunyai barisan penulis yang berwibawa dan berkelayakan untuk dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak kelima. Di sisi yang lain, para penulis Sarawak sentiasa berlapang dada dan menerima sesiapa pun yang bakal dinobatkan sebagai penerima.
Hal ini dikatakan sedemikian kerana, dalam dunia kesusasteraan yang kian mengecil, kita perlukan suntikan semangat baharu yang dapat membangunkan harapan dan impian para penulis di Sarawak. Ketiadaan penerima, seolah-olah memperlihatkan kegagalan badan bahasa, persuratan dan persatuan penulis dalam melahirkan penulispenulis yang berwibawa. Apakah itu, wajah sebenar sastera Darul Hana kita?