Program TABS dibuka semula bermula Sabtu
KOTA KINABALU: Program Tunas Asas Bola Sepak (TABS) SAFA Bandaraya akan meneruskan semula program latihannya mulai Sabtu ini (27 Mac) selepas ditangguhkan kira-kira setahun.
Timbalan Pengerusi TABS Lokman Sunggim berkata, sesi latihan program pembangunan bola sepak SAFA Bandaraya itu akan disambung semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, program latihan setiap Sabtu dan Ahad itu telah ditangguhkan sejak Mac tahun lepas bagi mematuhi arahan pihak kerajaan ekoran krisis wabak COVID-19.
“Buat permulaan jurulatih dan pegawai TABS akan memulakan semula pra pendaftaran pelatih di padang TABS berhampiran padang SUKMA mulai Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, selain pendaftaran secara manual di padang TABS, pendaftaran pelatih secarara online juga boleh dilakukan dalam laman web TABS yang akan diumumkan pengurusan TABS kemudian.
Beliau berkata, ramai ibu bapa mahukan supaya pengurusan TABS menyambung semula program latihan anakanak mereka yang tertangguh itu.
“Pihak pengurusan TABS dan jurulatih telah membincangkan perkara tersebut dan bersetuju menyambung semula program latihan itu sebagai satu usaha membantu membangunkan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, program latihan itu membabitkan kategori bawah umur 12, 14, 16 dan 18 tahun.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa pelatihpelatih memberi kerjasama yang baik kepada jurulatih dan pegawai-pegawai TABS yang mengendalikan pendaftaran pelatih khususnya di venue yang ditetapkan.
Mereka juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pendaftaran secara online daripada jurulatih dan pegawai-pegawai TABS berkenaan.