‘Satu peket darah mampu menyelamatkan nyawa’
Program Derma Darah SMK Taman Perumahan Bedaun sempena Hari Guru Labuan 2021 dapat sambutan menggalakkan
LABUAN: Sebanyak 44 peket darah berjaya diperoleh melalui Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2021.
SMK Taman Perumahan Bedaun sebagai sekolah pengelola telah berjaya mengadakan program khidmat masyarakat bersama Hospital Labuan melalui kempen berkenaan.
Pengetua sekolah Ag Rozlan Manan berkata, program yang berlangsung pada Sabtu lalu merupakan inisiatif untuk membantu menambahkan tabung darah di Hospital Labuan demi rawatan pesakit dan juga kes-kes kecemasan.
Katanya, kempen derma darah ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada semua guru dan orang awam untuk menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.
Beliau berkata, antara objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada semua guru dan orang awam tentang kepentingan menderma darah yang dapat menyelamatkan nyawa.
“Kempen Derma Darah ini juga bertujuan menangani masalah kekurangan darah dalam tabung darah di Hospital Labuan, di samping dapat memupuk sifat penyayang dan sedia membantu dalam kalangan warga pendidik dan orang awam tanpa mengira bangsa dan agama ke arah mewujudkan integrasi masyarakat,” katanya.
Ag Rozlan Manan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Guru 2021, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program khidmat masyarakat melalui kempen derma darah.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Hospital Labuan kerana bersamasama merealisasikan program kemasyarakatan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua penderma darah yang telah melaksanakan tanggungjawab demi menyelamatkan nyawa orang lain.
“Saya juga bersyukur kerana program yang dirancang berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya,” katanya.
Turut hadir bersama dalam program ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran Chai Yee San selaku Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Sambutan Hari Guru dan Penolong Kanan Kokurikulum Lau Chin Ying.
Hadir sama guru-guru kanan bidang dan AJK yang terdiri daripada guru-guru SMKTPB.
Program yang bermula dari jam 9 pagi itu dimulakan dengan pendaftaran penderma darah diikuti dengan pemeriksaan tahap kesihatan penderma darah.
Penderma boleh menderma darah sekiranya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Sjil penghargaan dan hamper diberikan kepada penderma darah yang mendaftar terlebih dahulu sebagai penderma darah.
Antara agensi yang turut memberikan sumbangan dalam menjayakan program ini ialah Asian Supply Base Sdn Bhd, BRB Terus Maju Sdn Bhd, D’ One Mart Labuan, Seri Pentas Enterprise, Tira Biru Sdn Bhd dan Felix Heng Yong Yuen.
Walaupun dalam situasi negara menghadapi pandemik COVID-19, program derma darah ini merupakan landasan terbaik untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat khususnya dalam kalangan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan untuk menderma darah ekoran stok bekalan darah yang semakin susut bekalannya.
Malahan, program ini juga dapat membuka mata warga guru bahawa betapa pentingnya satu peket darah dapat menyelamatkan nyawa seseorang.
Kempen derma darah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada pihak pengurusan Hospital Labuan oleh Sekolah Zon Pengelola Sambutan Hari Guru Peringkat WP Labuan Tahun 2021 bagi pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara yang menderma darah termasuk Guru Besar Sekolah Kebangsaan PatauPatau Sazalee Haji Dinin, Guru Besar SK Bebuloh Abd
Rahman Salim, pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan dan guru-guru sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.
Kempen Derma Darah 2021 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan dikelolakan oleh SMK Taman Perumahan Bedaun itu berakhir jam 3 petang.