MPS giat selenggara ketinggian pokok
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan menyelenggara ketinggian pokok di semua tempat di bandar ini demi keselamatan pengguna jalan raya dan pejalan kaki, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemantauan Bangunan dan Kebersihan Bandar MPS Kaunselor Joseph Chieng.
Bagaimanapun, jelasnya, ketinggian pokok berbezabeza menurut spesies, ukuran dan lokasi.
Beliau menambah bahawa pokok yang ditanam sepenuhnya perlu dicantas ketinggian berserta dahannya demi keselamatan orang ramai.
“Sebagai contoh, di Jalan Tuanku Osman berdasarkan saranan arkitek dan kontraktor landskap MPS, ketinggian pokoknya setinggi 35 kaki.
“Sekiranya pokok tumbuh terlalu tinggi, dahan akan sangat panjang dan mudah patah apabila ditiup angin kencang dan ketika cuaca buruk, pohon-pohon tinggi itu boleh patah.
“Itulah sebabnya kerjakerja penyelenggaraan pokok adalah rutin bagi MPS kerana keselamatan orang ramai menjadi keutamaan kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pada Sabtu lalu, kontraktor MPS telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok-pokok di Jalan Tuanku Osman.
Menurutnya, Jalan Tuanku Osman terletak di kawasan pusat perniagaan (CDB) dengan lalu lintas yang sibuk dan salah satu jalan utama di bandar ini.
Oleh itu tambahnya, kerjakerja hanya dapat dilakukan pada hujung minggu untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
Setelah menyelesaikan kerja-kerja penyelenggaraan di Jalan Tuanku Osman, beliau mengatakan pihak kontraktor akan berpindah ke kawasan lain di bandar.
Tambahnya, sebanyak 33 pokok di jalan tersebut akan diselenggara demi keselamatan awam.