Barisan masih panjang di imigresen Malaysia di Singapura, namun terkawal
SINGAPURA: “Bagus mereka tempatkan pegawai untuk beri penjelasan di pintu pagar utama,” kata seorang wanita warga emas yang menemani suaminya untuk mengambil pasport yang diperbaharui di Kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di sini semalam.
Pasangan warga emas itu ditemui Bernama ketika meninjau pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengendalikan barisan yang panjang di luar kompleks STM awal pagi semalam.
Terdahulu, pasangan itu dibenarkan masuk ke pejabat JIM yang ditempatkan di dalam kompleks tersebut tanpa perlu beratur, bagaimanapun mereka diminta datang semula kerana pasport masih belum siap.
“Kami dimaklumkan pasport sedang dicetak di Malaysia,” kata wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Madam Lee kepada Bernama sambil menunjukkan dokumen yang meminta suaminya hadir ke kompleks STM pada 16 Feb lepas.
Sebelum beredar menaiki motosikal, pasangan penduduk tetap Singapura itu berkata mereka akan dimaklumkan melalui e-mel sebaik pasport siap dan sedia untuk dituntut.
Minggu lepas beberapa warga Malaysia di Singapura berkongsi di media sosial mengenai kesesakan dan barisan yang panjang bagi memperbaharui pasport di luar kompleks STM.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati keadaan terkawal dengan dua pegawai Imigresen dibantu beberapa pegawai keselamatan membuat saringan dokumentasi sebelum membenarkan orang ramai meneruskan urusan berkaitan di dalam kompleks.
Pada kira-kira 7.30 pagi, kelihatan warga Malaysia sudah membentuk barisan sepanjang kira-kira 350 meter dengan masing-masing mengutamakan penjarakan fizikal bermula di Holt Road menuju ke pintu pagar utama kompleks tersebut.
Turut kelihatan beberapa warga emas dan pasangan yang membawa kanak-kanak dan bayi diberi keutamaan dan tidak perlu beratur.
Barisan dilihat mula berkurangan pada kira-kira jam 9.15 pagi.
Pada 19 Mac lepas, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam maklum balas berhubung situasi itu berkata kesesakan dan barisan yang panjang adalah disebabkan gangguan sistem dan kerosakan salah satu mesin pencetak pasport.
Katanya, ia ditambah pula dengan jumlah permohonan pasport yang meningkat secara mendadak dan pemohon terus datang tanpa membuat janji temu melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Beliau berkata bermula 4 Februari, semua urusan di pejabat Imigresen di STM adalah melalui STO yang sebelum STO, janji temu perkhidmatan hanya dibuat menerusi e-mel.
Bagi mengatasi masalah itu, rakyat Malaysia di Singapura dinasihati agar memperbaharui pasport mereka secara dalam talian dan permohonan akan diproses serta pasport akan dicetak dalam masa empat hingga lima minggu. — Bernama