Utusan Borneo (Sarawak)

Gaduh di tempat awam gara-gara ‘double parking,’ dua lelaki didenda

-

KUCHING: Gara-gara bergaduh di tempat awam kerana letak kereta berganda (double-parking), dua lelaki masing-masing didenda RM700 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhka­n hukuman itu terhadap warga emas berusia 61 tahun, Dickson Pol dan pemandu van kilang, Jefrry Berendam, 50, selepas mereka mengaku bersalah mengganggu ketenteram­an awam dengan bergaduh di tempat awam.

Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan, kawasan tempat letak kenderaan awam di hadapan rumah tertuduh pertama iaitu Dickson, di RPR Matang Malihah Fasa 2, di sini pada jam 11 pagi, 14 Mac lalu.

Mengikut keterangan kes, kedua-dua tertuduh dalam kes ini bergaduh setelah Jefrry (tertuduh kedua) meletakkan keretanya di laluan keluar kereta Dickson.

Mereka kemudian bergaduh dan tolak-menolak sesama sendiri sehingga kedua-duanya mengalami cedera ringan.

Dickson dilaporkan mengalami bengkak pada paha kanan, manakala bahagian leher Jefrry calar akibat pergaduhan tersebut.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Sebelum dijatuhkan hukum, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu agar tidak dikenakan hukuman berat berikutan mereka telah menyelesai­kan perkara itu secara baik, selain memaklumka­n mahkamah bahawa mereka merupakan pencari nafkah utama bagi keluarga mereka.

Pendakwaan dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia