Utusan Borneo (Sarawak)

SAR masih gagal menemui Ali

-

BINTULU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui mangsa dalam operasi hari ketiga kelmarin di Long Selui, Uma Kelap Lama di Ulu Balui, Bakun dekat sini sejak mangsa dilaporkan hilang pada 10 Mac lalu semasa berburu seorang diri selepas mengalihka­n kayu dan zink bersama anaknya dari jeti Bakun ke Long Selui.

Menurut laporan polis yang dibuat anak mangsa Alias Alan Ali, 20, ayahnya Ali Lingak, 50-an, tidak membawanya bersama ketika berburu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu merangkap Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba I Christus Buson berkata, pencarian mangsa dilakukan di kawasan permukaan terbuka, darat dan melalui tinjauan udara.

“Sektor pencarian dilakukan di sekitar Sungai Linau dengan tempat pencarian dibahagi kepada empat titik merangkumi pada sebelah paginya di titik B ke D dan petangnya di titik A ke C,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam sambil menambah operasi melibat pasukan bomba BBP Bintulu ke Empangan Bakun adalah sejauh 189 kilometer (km).

Beliau berkata, pasukan pencarian dibahagika­n kepada dua bahagian dengan satu pasukan pencarian sekitar pinggir sungai dan satu pasukan lagi melibatkan pencarian di kawasan daratan.

Jelasnya, radius kawasan pencarian adalah dalam 20km persegi dan fokus SAR adalah di kawasan Sungai Balui, Sungai Nah, Sungai Pangei dan Sungai Belanum.

“Pasukan pencarian darat dibantu oleh pasukan dron Polis Bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi pencarian dari udara,” katanya.

Operasi hari ketiga tersebut bermula jam 10.50 pagi dan ditangguhk­an sehingga jam 5 petang.

Operasi pencarian turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 85 anggota Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro, tiga anggota Polis Bantuan SEB, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seorang kakitangan SEB.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang turut melawat Pos Kawalan Bomba di kawasan tersebut dan diberi taklimat mengenai operasi yang dijalankan pasukan SAR.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia