Utusan Borneo (Sarawak)

Kluster Chupak di Serian merekodkan tambahan 47 kes baharu COVID-19

-

KUCHING: Kluster Chupak di Serian yang diisytihar­kan kelmarin merekodkan tambahan 47 kes baharu COVID19 semalam menjadikan jumlah kes melibatkan kluster ini meningkat kepada 104 kes.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata sejumlah 338 individu telah disaring di bawah kluster ini di mana 104 didapati positif termasuk kes indeks.

Manakala seramai 41 lagi individu yang disaring didapati negatif dan 193 individu masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Terdapat 31 kluster yang masih aktif setakat hari ini (semalam) di Sarawak dengan sembilan daripada kluster ini merekodkan penambahan kes manakala 22 kluster tiada penambahan kes,” katanya.

Selain Kluster Chupak, terdapat juga penambahan 44 kes melibatkan Kluster Tanjung Genting di Meradong meningkat kepada 74 kes setakat ini.

Seramai 123 individu telah disaring di bawah Kluster Tanjung Genting di mana 48 individu didapati negatif dan satu kes masih menunggu keputusan ujian makmal.

Penambahan kes turut direkodkan melibatkan Kluster

Jalan Sanyan di Sibu iaitu sebanyak 36 kes semalam meningkat kepada 83 kes.

Manakala terdapat penambahan 10 kes bagi Kluster Kiba di Sibu, Kluster Jalan Merpati, Miri (8), Kluster Jalan Tanjung, Bintulu (6), Kluster Jalan Muhibbah, Betong (4),Kluster Emperoh Jambu, Kuching (2) dan Kluster Jalan Kampung Hilir, Sibu (1).

JPBNS turut memaklumka­n bahawa daerah Beluru bertukar status daripada Hijau kepada status Kuning jangkitan COVID-19 setelah lima kes jangkitan tempatan dikesan di daerah itu semalam.

Daerah-daerah lain berstatus Kuning ialah Tebedu, Bau, Mukah, Selangau, Dalat, Limbang, Telang Usan, Kanowit, Belaga, Lundu, Bukit Mabong, Tatau, Pusa, Saratok dan Sebauh.

Manakala 12 daerah kekal berstatus Merah iaitu Samarahan, Sri Aman, Song, Serian, Julau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

Tiga daerah berstatus Jingga iaitu Tanjung Manis, Subis dan Sarikei manakala sembilan daerah berstatus Hijau iaitu Asajaya, Marudi, Pakan, Matu, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu dan Kabong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia