Utusan Borneo (Sarawak)

Dua kluster baharu diisytihar di Sarawak

Ia melibatkan Kluster Lorong Desa Senadin, Miri dan Kluster Batu Gong, Serian

- Oleh Rusnan Mustafa

“Kluster Lorong Desa Senadin, Miri adalah kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan sebuah pusat latihan maritim di Lorong Desa Senadin, Lutong di Daerah Miri, Sarawak.

Kenyataan Sekretaria­t JPBNS

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytih­arkan dua kluster baharu masing-masing di Miri dan Serian, semalam.

Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kluster tersebut ialah Kluster Lorong Desa Senadin, Miri dan Kluster Batu Gong, Serian.

“Kluster Lorong Desa Senadin, Miri adalah kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan sebuah pusat latihan maritim di Lorong Desa Senadin, Lutong di Daerah Miri, Sarawak.

“Kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-12,919 merupakan seorang pelatih di pusat latihan tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 22 tahun yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala pada 15 Mac 2021 di Hospital Miri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, jelasnya, kes indeks dipercayai telah mendapat jangkitan melalui kontak kasual dari komuniti antara 1 hingga 14 Mac 2021.

Tambahnya, setakat ini, kluster itu melibatkan dua daerah iaitu Miri dan Mukah.

“Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif kepada kontak rapat dan kontak kasual mengesan tambahan 29 kes positif baharu COVID-19.

“Sejumlah 173 individu telah disaring di mana 30 kes positif COVID-19 termasuk kes indeks, 59 individu negatif dan 84 kes masih menunggu keputusan,” katanya.

Menurut JPBNS lagi, kesemua 30 kes positif COVID19 telah dirujuk dan dimasukkan ke PKRC di Miri (29) dan PKRC di Mukah (1) bagi tujuan rawatan lanjut dan pengasinga­n.

Bagi Kluster Batu Gong, Serian pula, JPBNS memaklumka­n ia adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah penempatan Kampung Batu Gong, Daerah Kecil Siburan di Daerah Serian.

Katanya, kes indeks kepada kluster itu adalah kes ke-14,157 yang merupakan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 46 tahun dikesan melalui saringan individu bergejala pada 19 Mac 2021 di Klinik Kesihatan Siburan.

“Kes yang bekerja sendiri ini berkemungk­inan telah mendapat jangkitan melalui jangkitan komuniti dan jangkitan ini telah merebak kepada individu lain di kampung tersebut melalui pergaulan dan kontak rapat.

“Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif terhadap ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual kepada indeks kes ini mendapati tambahan 49 orang kes positif COVID19,” ujarnya.

Jelasnya JPBNS lagi, sejumlah 496 individu telah disaring iaitu 50 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 146 kes adalah negatif dan 300 kes masih menunggu keputusan.

“Kesemua 50 orang kes positif COVID-19 tersebut telah dirujuk ke Hospital Serian dan dimasukkan ke PKRC Serian bagi tujuan rawatan lanjut dan pengasinga­n,” tambahnya.

Dalam pada itu, JPBNS memberitah­u, sebanyak 33 kluster masih aktif di Sarawak yang mana daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kluster melaporkan penambahan kes semalam, manakala 25 kluster lagi tidak ada penambahan kes.

Selain itu katanya, Daerah Tanjung Manis kembali ke status Kuning daripada Jingga setelah merekodkan hanya sejumlah 19 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning telah meningkat kepada 17 daerah dan daerah berstatus Jingga menurun kepada dua daerah.

“Manakala 12 daerah lain kekal berstatus Merah dan sembilan daerah lain kekal berstatus Hijau,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia