Utusan Borneo (Sarawak)

Pengurus cawangan bank dilepas tanpa dibebas daripada pertuduhan pecah amanah

-

KUCHING: Seorang pengurus cawangan bank Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-Opbank Pertama) dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam daripada pertuduhan pecah amanah membabitka­n wang berjumlah RM155,000.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff memutuskan demikian terhadap tertuduh, Anisah Ismail, 49, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mengemukak­an dokumen asli yang sangat penting dan diperlukan bagi kes tersebut.

Kelmarin sepatutnya dijadualka­n bagi perbicaraa­n kes terbabit.

“Seperti yang diarahkan mahkamah pada Khamis, dokumen-dokumen tersebut mesti disiapkan dan dikemukaka­n pada hari ini (semalam) untuk perbicaraa­n.

“Memandangk­an dokumen asal yang berkaitan dengan isu-isu penting dan unsurunsur pertuduhan tidak dapat dikemukaka­n di mahkamah, tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut,” ujar Taufik semasa prosiding.

Mengikut pertuduhan, wanita tersebut sebagai seorang pengurus cawangan bank Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (ketika kejadian) yang diamanahka­n dengan wang milik bank tersebut, didakwa telah melakukan pecah amanah apabila wang berjumlah RM155,000 lesap.

Perbuatan itu didakwa dilakukann­ya pada 20 November 2017, antara jam 8 pagi dan 8 malam di premis bank tersebut yang terletak di Jalan Kulas, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Seramai 11 saksi pendakwaan dijadualka­n hadir untuk perbicaraa­n kes tersebut namun, hanya tiga sahaja yang sempat memberikan keterangan dalam kes ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham Kamaruddin, manakala tertuduh diwakili peguam Theresa D. Udam dan dibantu oleh Bong Lian Huan.

 ??  ?? LEPAS TANPA DIBEBAS: Anisah (dua kanan) dan rakannya bersama Theresa (dua kiri) dan Bong (kiri).
LEPAS TANPA DIBEBAS: Anisah (dua kanan) dan rakannya bersama Theresa (dua kiri) dan Bong (kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia