Kaunselor MDS diingat terus amanah, dedikasi laksana tugas
SARIKEI: Para kaunselor Majlis Daerah Sarikei (MDS) diingatkan agar terus menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, berperanan sebagai golongan paling dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi, kaunselor harus peka dengan keperluan dan kehendak masyarakat yang berkaitan dengan bidang tugas mereka.
“Langkah ini amat penting dalam memastikan perkhidmatan kepada masyarakat itu dapat disampaikan dengan baik dan berkesan.
“Para kaunselor perlu mendengar pendapat rakyat dan memikul tanggungjawab untuk pembangunan bandar dan luar bandar.
“Justeru, kita berharap semua kaunselor yang telah dilantik dapat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah dan memainkan peranan yang penting untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Huang berkata demikian ketika menjalankan tinjauan kerja ke tapak projek naik taraf Jalan Hijau, Jalan Bersatu dan Jalan Tebingan Sungai Nyelong di sini, kelmarin.
Turut hadir ialah Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng.
Huang berkata, sebagai
ADUN Repok, beliau amat prihatin dengan pembangunan infrastruktur Sarikei termasuk pembinaan jalan raya dan kemudahan lain supaya penduduk Sarikei dapat menikmati sistem perhubungan yang sempurna.
“Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarikei kian membangun dan akan semakin maju.
“Oleh itu, kita akan sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, dan sentaisa berusaha untuk bekerjasama terutama dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini terus berada pada tahap terbaik,” tambah Huang.