Utusan Borneo (Sarawak)

Empat kluster COVID-19 di Sarawak diisytihar­kan tamat

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytih­arkan empat kluster tamat iaitu Kluster Rakut, Miri, Kluster Seruas, Beluru, Kluster Kejatau, Sri Aman dan Kluster Jan Yong, Kapit.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari lalu.

“Hari ini sebanyak 32 kluster masih aktif. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan kluster melaporkan terdapat penambahan kes.

“Manakala 24 kluster lagi tidak ada penambahan kes,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, semalam.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumka­n bahawa Kluster Depot Imigresen Semuja, Serian merekodkan peningkata­n tertinggi iaitu 191 kes baharu semalam.

Ia diikuti Kluster Emperoh Jambu, Kuching (10 kes); Kluster Jalan Tanjung, Bintulu (8), Kluster Jalan Sanyan, Sibu (6); Kluster Jalan Merpati, Miri (3); Kluster Kampung Baru Hilir, Samarahan (3); Kluster Tanjung Genting, Sarikei (2) dan Kluster Desa Senadin, Miri (1).

Uggah turut memberitah­u, daerah Tatau dan

Pusa telah kembali kepada status Hijau daripada status Kuning semalam setelah masing-masing tidak merekodkan sebarang kes jangkitan tempatan dalam 14 hari lepas.

Katanya, ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau telah meningkat kepada lapan daerah.

“Daerah Song pula telah kembali kepada status Jingga daripada status Merah setelah merekodkan hanya 35 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga meningkat kepada tiga daerah. Manakala 11 daerah kekal berstatus Merah dan 18 daerah kekal berstatus Kuning,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya dapat meratakan lekuk rantaian

COVID-19

“Ini penting kerana kita (sebelum ini) telah berjaya dalam fasa 1, 2 dan 3 dan saya yakin kalau kita bekerjasam­a, kita berjaya mengatasi wabak ini dalam masa terdekat.

“Yang penting semua kita harus jaga kesihatan sendiri, keluarga dan rakyat Sarawak supaya kita dapat kembali kepada kehidupan seperti sebelum COVID-19,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia