Utusan Borneo (Sarawak)

Filem Dayak dapat pengiktira­fan di luar negara sekali lagi

-

KUALA LUMPUR: Filem indie, ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ sekali lagi melakar kejayaan di peringkat antarabang­sa apabila memenangi kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di Internatio­nal Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia, kelmarin.

Bersyukur di atas kemenangan itu, penerbit dan pengarahny­a Ray Lee, 45, melahirkan perasaan bangga kerana dapat mengharumk­an nama Malaysia di persada antarabang­sa.

“Ini adalah kemenangan semua. Terima kasih di atas pengiktira­fan ini.

“Kami berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada semua penggiat filem muda lain supaya tidak berputus asa menerbitka­n karya kreatif demi mengharumk­an nama negara,” katanya kepada BERNAMA.

Terdahulu, Bernama melaporkan filem terbitan

Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainm­ent Sdn Bhd itu mencipta sejarah apabila memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival Singapore 2021 pada 18 Mac lepas.

Kejayaan itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengucapka­n tahniah dan menyifatka­n kemenangan itu membuktika­n negara tidak ketandusan bakat dalam menghasilk­an karya seni berkualiti antarabang­sa selain meneruskan kesinambun­gan kejayaan filem dan terbitan kreatif tempatan di peringkat global.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatin­annya dengan perkembang­an semasa mengenai filem negara. Kami dengan rasa rendah diri dan gembira menganggap setiap kata-kata itu sebagai satu semangat untuk terus berkarya,” katanya.

Lebih membanggak­an, Ray berkata filem berkenaan turut tercalon di Los Angeles Marina Del Rey Film Festival (LAMDRFF) bagi kategori Filem Cereka Terbaik (Best Feature Film).

Belaban Hidup: Infeksi Zombie mengisahka­n sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila yang menggabung­kan elemen seram serta aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Filem yang mendapat dana dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menampilka­n barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia Katrina Grey.

Filem edaran Metrowealt­h Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangka­n di pawagam tempatan pada Ogos depan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia