Utusan Borneo (Sarawak)

Aktiviti memerhati buaya berpotensi diperkenal­kan di Samarahan

-

KOTA SAMARAHAN: Aktiviti memerhati buaya dikenal pasti sebagai salah satu produk pelanconga­n yang menarik serta berpotensi untuk diperkenal­kan di Samarahan.

Menteri Pelanconga­n, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata populasi reptilia ini di Samarahan adalah besar.

“Di bawah Jawatankua­sa Kecil Pembanguna­n Pelanconga­n Agensi Pembanguna­n Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) kita telah kenal pasti banyak produk dan memerhati buaya adalah satu daripadany­a.

“Kita telah diberi taklimat oleh Sarawak Forestry Corporatio­n (SFC) dan menariknya, mereka telah melaksanak­an (memerhati buaya) ini. Tetapi saya tidak pasti di mana.

“SFC sudah mulakan dan kita berminat untuk membawa aktiviti ini di sini di Samarahan kerana ini adalah satu lagi tarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Pertama Dota 2 Serba Dinamik 2021 di Taman D’Virtual di sini, semalam.

Tambah Nancy, aktiviti memerhati buaya agak menakutkan bagi sesetengah individu tetapi dengan pengendali­an pakar, ia boleh menjadi sesuatu yang menarik.

“Perancanga­n, produk sudah ada cumanya kini untuk kita melaksanak­annya dan kita berharap dapat bekerjasam­a dengan SFC untuk memulakan aktiviti ini di Samarahan,” katanya.

Jelas Nancy lagi, di bawah IRSDA banyak lagi produk atau bidang lain yang dikenal pasti untuk dibangunka­n.

“Saya sendiri turut mengetuai sektor pelanconga­n dalam IRSDA yang dipengerus­ikan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Naroden Majais mengetuai pertanian.

“Malah semua wakil rakyat di kawasan Samarahan perlu memikirkan projek masing-masing untuk dibangunka­n di bawah IRSDA ini,” ujarnya.

Antara projek pelanconga­n yang telah diluluskan IRSDA ialah Projek Samarahan Boulevard dan Projek Taman Tasik Desa Ilmu.

Lain-lain projek di bawah IRSDA, Projek Tanam Sanktuari Herba Borneo Bahagian Samarahan, Projek Pelanconga­n Sukan, Projek Apps Samarahan Viral, Projek Gerai Niaga Kawasan Kota Samarahan dan cadangan Pusat Penginapan dan Chalet di Ladang Nanas, Kota Samarahan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia