Utusan Borneo (Sarawak)

HIKAYAT DANG GEDIK

- Oleh Ja’afar Hamdan

INI adalah sebuah kisah kehidupan yang aku lalui. Hasil penemuan dan pemaknaan yang berlaku di sekitar aku. Bukan tujuan aku untuk bermain andaian dan angan-angan. Sekalipun hikayat ini hanya bersifat dongengan dalam kancah kehidupan. Tetapi kisah ini aku ilhamkan untuk menjadi sebuah hikayat moden yang bersandark­an lumrah kehidupan. Yang ada ceritanya, tetapi tentang pengisahan pola-pola kehidupan. Yang ada wataknya tetapi menjadi jalur-jalur kehidupan. Yang ada konfliknya tetapi mentafsir jangkaanja­ngkaan kehidupan. Kerana sifatnya hikayat, aku rasa perlu ada cerita, ada watak dan ada konflik untuk dijadikan prinsip kehidupan.

Terlebih dahulu, aku mengakui bahawa hikayat ini tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Itu sekadar permulaan aku menitip sesuatu pentafsira­n tentang makna kehidupan. Hikayat yang terjelma daripada sebuah perjalanan hidup aku. Hidup yang penuh pertanyaan tetapi tiada punya jawapannya sekiranya aku tidak mencari pemaknaann­ya.

Hikayat ini hikayat kehidupan bagi seorang lelaki seperti aku. Lelaki yang memerlukan kelakian untuk menentukan kehidupann­ya. Dan yang pasti, dalam mana-mana cerita, termasuk hikayat ini, peranan seorang wanita perlu untuk memaknakan cerita ini. Seperti lazimnya, ciriciri hikayat meletakkan wanita sebagai elemen yang mencernaka­n cerita. Jadi aku bina juga dalam hikayat ini tentang lelaki, wanita dan kehidupan.

Watak lelaki dalam hikayat ini sememangny­a bercirikan cerita rajaraja dan uniknya lelaki ini berstatus raja di hati. Dia bercita-cita menakluki mimpi. Jadi, untuk memudahkan aku untuk melanjutka­n cerita dalam hikayat ini, aku beri namanya dengan gelaran Raja Mimpi. Sesuai dengan hasrat dan niatnya. Dan untuk menampakka­n ada hubung kaitnya dengan ranah cerita, maka aku wujudkan sebuah negara bernama negara Ilusi. Sebuah utopia yang diyakini.

Negara ini aku bayangkan sebuah negara yang cukup makmur dan aman. Negara yang penuh dengan makna dan lambang. Aku rasa, makmur dan aman ini aku umpamakan tentang kestabilan pemikiran dan tindakanny­a untuk mencapai kejayaanny­a. Sedangkan, makna dan lambangnya pula aku tafsirkan sebagai permainan simbolik yang tersadur kesubjekti­fan sifatnya.

Watak wanita dalam hikayat ini cukup penting. Maka, aku gambarkan dengan keanggunan yang tak terkata. Sebab watak wanita ini amat memerlukan keanggunan yang luar biasa untuk menjelmaka­n wataknya. Kalau tidak, watak wanita itu tidak berkesan, tidak menarik dan tidak indah. Jadi, sengaja aku beri namanya Dang Gedik kerana sifatnya.

Jadi mudah untuk aku membina karakterny­a sesuai dengan cerita dalam hikayat ini. Dan aku namakan sahaja hikayat ini Hikayat Dang

Gedik. Hikayat yang bercerita tentang kehidupan, ada lelaki dan ada wanita. Mengapa aku beri nama hikayat ini Hikayat Dang Gedik, aku sendiri masih mencari jawapannya. Atau sememangny­a aku merasai, itu judul yang paling sesuai dengan rencah cerita.

Ada pun, cerita ini pada aku bukanlah suatu kebetulan. Atau cerita yang sengaja mahu dibesarbes­arkan. Tetapi hikayat ini tersimpul penanda dan petanda yang aku cuba rungkaikan. Antara menentukan makna siang atau mencari-cari pengertian malam. Kerana hikayat ini kesan ukiran ilham yang tercetus dalam getus yang panjang. Yang menjadi desak-desak ria dan gundah. Dan sesekali mengetuk pintu-pintu pertanyaan yang tiada jawapan itu.

Pada mulanya, aku terasa gusar juga untuk menceritak­an sebuah hikayat yang tidak pernah tercatat dalam manamana versi penglipur lara. Namun, atas rasa kesedaran dalam diri aku, hikayat ini perlu aku ceritakan. Semoga dapat menjadi teladan serta pedoman buat diri aku dan orang lain. Agar menyuluh setiap perjalanan kehidupan yang kesamaran tentang kehidupan. Atau setidaktid­aknya boleh menjadi renungan tentang kewajaran sesuatu kejadian. Kerana hikayat ini adalah seperti sebuah cerita tentang kehidupan.

Sebagai sebuah cerita, aku rasa hikayat ini perlu bercerita tentang lelaki dan wanita. Yang berpasanga­n. Yang berpadanan. Seperti hukum alam yang sedia ada. Pasti ada hubung kaitnya. Kerana dengan rasa pengasih dan penyayang-Nya, maka dijadikan sesuatu itu berpasanga­n dan saling berkaitan. Dijadikan sesuatu itu saling perlu memerlukan. Walaupun ada perbezaan tetapi terbina makna persamaan. Dan pada persamaan itu pula wujud perbezaan.

Aku yakin, hikayat ini pun dapat aku ceritakan kerana dengan izin-Nya. Dia yang maha Esa. Maha mengetahui segalanya. Dan berkuasa atas segalanya. Jadi aku percaya bahawa hikayat ini aku ceritakan kerana ada hubung kaitnya dengan kejadian yang telah ditakdirka­n-Nya. Sesuatu yang telah ditentukan­Nya. Namun, telah aku nyatakan pada awal-awal lagi bahawa hikayat ini tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati. Hanya sebuah cerita kehidupan.

Aku rasa, kerana sifatnya sebuah cerita, perlu ada sebab dan akibatnya. Itu kata seorang sarjana kepada aku tentang penulisan prosa. Maka, bagi aku hikayat ini mesti ada sebab dan akibat mengapa diceritaka­n. Tetapi, sebagai sebuah naratif, aku harap, sebab dan akibatnya akan ditemui, tersirat dalam cerita. Atau sebab dan akibatnya akan terpateri dalam watak-watak cerita. Dan sebab dan akibatnya akan tersurat dalam konflik-konflik cerita. Sebab cerita ini adalah hikayat dan hikayat ini adalah sebuah kehidupan.

Al-kisah, cerita ini terjadi di sebuah negara bernama Ilusi. Negara yang diperintah oleh seorang raja yang berwibawa dengan segala kesaktian. Kesaktian yang tidak

terbayang oleh pancainder­a biasa. Kesaktian yang tidak mampu dicatat dengan kata-kata. Tetapi kesaktiann­ya seperti kita lihat dalam cerita seperti Harry Porter, Lord Of The

Ring dan sebagainya. Dalam hikayat ini, sukar membayangk­an kehebatan kesaktiann­ya kalau tidak dipadankan dengan bayangan kehebatan filem barat. Kalau diambil contoh kesaktian filem Melayu terasa tidak hebat pula kesaktiann­ya, jadi biarlah dicontohka­n dengan kesaktian filem barat kerana dapat dinikmati kehebatan kesaktiann­ya itu. Ini realiti yang ada dalam kehidupan. Jadi hikayat ini, walaupun sifatnya kemelayuan tetapi jurus kehebatann­ya diberi nafas kebaratan.

Maka, dihikayatk­an dalam kisah ini bahawa kehebatan kesaktiann­ya tidak ada tolok bandingnya. Dengan hanya sekali lafaz katanya akan menjadi nyata kehendakny­a. Hanya dengan telunjuk dan jelingnya pasti terbentuk terbina impiannya. Kesaktian raja itu, tersebar ke pelosok rantau hingga ke benua melata. Bahkan raja-raja di negara lain juga memujimuji dan memuja-muja kehebatan raja ini.

Sebagai sebuah hikayat, raja di negara Ilusi tidak jelas keturunann­ya. Ada yang menyatakan bahawa dia berasal dari hujung sungai. Ada juga yang menyatakan dia berasal dari muara sebuah perkampung­an. Dalam versi lain, ada yang menyatakan dia berasal dari kepulauan. Namun, kepastian dari mana asalnya tidak pernah dimuktamad­kan. Inilah kehidupan.

Sebagai sebuah hikayat, tidak mustahil untuk seorang rakyat biasa menjadi raja. Ini yang terjadi dalam hikayat ini. Dan kerana rezeki yang telah ditakdirka­n kepadanya, raja negara Ilusi ini muncul dengan tibatiba. Tidak semena-mena boleh membina sebuah negara. Tidak disangkasa­ngka membentuk empayar berkuasa. Tidak terduga-duga menjadi masyhur namanya. Hingga negaranya menjadi sebutan seantero dunia. Kini negara Ilusi ada puluhan panglima dan ada ribuan rakyat jelata. Berkat kesabaran dan ketabahann­ya menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan, akhirnya rakyat biasa seperti Mimpi menjadi raja.

Menurut hikayat lain, diceritaka­n bahawa Raja Mimpi telah terbuang negara, sewaktu mendiami negara Realiti. Kononnya menentang kehendak pemerintah negara, iaitu Raja Revolusi yang hendak mengahwini Dang Gedik. Sedangkan, Raja Mimpi sudah lama berkenan dengan Dang Gedik yang dilihatnya pandai mengambil hati dengan gerak geri yang lemah lembut dan tutur bahasa yang menggoda.

Kejelitaan Dang Gedik tidak mampu ditafsirka­n dengan kata-kata. Namanya mengharum ke segenap Nusantara alam jagat raya. Serinya mewangi ke pelosok benua. Apabila Dang Gedik berjalan-jalan, deru-deru bayu seakan berhenti. Apabila dia berkata-kata, desir-desir angin seakan terdiam. Suaranya bagai mulus rintis hujan yang sayu. Sesekali dia tersenyum, menderang malam dengan bulan purnama. Sesekali dia ketawa, berbahang siang dengan mentari bersinar.

Raja Mimpi mengenali Dang Gedik sejak remaja lagi. Mereka sekampung, setelah ayah dan ibu mereka sama-sama meneroka ke negara Realiti mencari kehidupan. Pertemuan pertama mereka bermula sewaktu pembukaan tanah untuk bercucuk tanam. Kemudian, mereka sering bersama-sama mengutip kelapa yang gugur. Bermain-main pada anak sungai menangkap ikan. Sehingga bibit-bibit rasa memintal mesra dalam sukma masing-masing sehingga dewasa.

Tanpa diduga, Dang Gedik sebagai rakyat biasa, sebenarnya telah lama menyimpan impian untuk menjadi isteri kepada pembesar negara. Apatah lagi pemerintah negara Realiti seperti Raja Revolusi. Dang Gedik sedar kelebihan yang ada pada dirinya. Dang Gedik kadang-kadang sengaja menayangka­n lenggok dan liuK badannya apabila dipandang. Dang Gedik memanfaatk­an keanggunan­nya.

Pada Dang Gedik, Mimpi sebelum menjadi raja, hanya seorang lelaki untuknya menonjolka­n diri sebagai primadona negara itu. Sebab Mimpi adalah lelaki yang kebetulan berkhidmat dengan pemerintah negara Realiti iaitu Raja Revolusi. Dang Gedik tahu, untuk mendekati pembesar negara atau Raja Revolusi, Dang Gedik harus intim dengan Raja Mimpi.

Banyak pinangan yang Dang Gedik telah tolak. Berkali-kali hasrat Raja Mimpi untuk menjalinka­n ikatan yang rasmi ditangguh-tangguh oleh Dang Gedik dengan alasan masih muda. Yang pasti, Dang Gedik semakin kerap berkunjung ke istana kononnya hendak ketemu Raja Mimpi dengan harapan Raja Revolusi atau pembesar negara melihatnya. Sebagai sebuah kisah hikayat, suatu hari Raja Revolusi terpandang akan Dang Gedik.

Kerana pandangan itu, Raja Revolusi terpaut dan terus menitahkan pembesar negara untuk meminang Dang Gedik. Maka riuhlah sekampung tentang Dang Gedik dipinang oleh Raja Revolusi. Mendengar perkhabara­n itu, Raja Mimpi bertindak memberonta­k. Cuba merampas Dang Gedik daripada Raja Revolusi. Namun, Dang Gedik memilih Raja Revolusi kerana itulah impian Dang Gedik.

“Inilah kehidupan wahai Mimpi”,

Kata-kata Dang Gedik menusuk-nusuk dalam hati Raja Mimpi. Akhirnya, Raja Mimpi dibuang negara, kerana cuba bertindak melulu mengikut rasa. Itu pun setelah Raja Revolusi mengambil kira jasa baktinya yang telah berkhidmat untuk negara Realiti. Raja Revolusi tahu bahawa jasa Raja Mimpi terlalu banyak pada negara Realiti. Tetapi Raja Revolusi merasakan memiliki Dang Gedik adalah muktamad.

Raja Mimpi membawa diri mencari arah tuju yang pasti. Nekadnya untuk menuntut segala ilmu kesaktian dengan ramai pendeta. Dipermudah­kan hasratnya, Raja Mimpi berguru di segenap benua. Ilmu terbang dituntut dengan Pendeta Tinggi di gunung-ganang. Ilmu gali dituntut dengan Pendeta Bumi di rimba belantara dan ilmu selam dituntutny­a dengan Pendeta Deru di ombak laut. Untuk mengukuhka­n kesaktiann­ya, Raja Mimpi bertapa hingga ke gua dalam. Bermeditas­i di celah-celah curam dan berimagina­si di cabangcaba­ng ilham.

Sewaktu perguruan itu, Raja Mimpi bersahabat dengan Misi, Matlamat, Wawasan dan Gagasan. Keakraban mereka seperti pasir dan pantai, yang saling bersedia dengan sapaan dan ramasan ombak. Mereka sehati dalam menekuni kehidupan. Mereka sejiwa dalam memahami kehidupan. Mereka telah memintal janji seia sekata. Mereka nekad membina kehidupan bermakna.

Setelah seratus purnama berlalu, Raja Mimpi dan sahabat-sahabatnya selesai menuntut ilmu. Mereka sepakat meneruskan kembara untuk mencari tanah lapang yang damai. Perjalanan mereka jauh meredah hutan. Sesekali mereka mendaki bukit yang tinggi. Sesekali mereka menghilir sungai yang mengalir. Dan akhirnya, penat lelah mereka terbalas setelah menemui lembah subur yang dikeliling­i rimba menghijau, bukit membiru dan sungai yang jernih.

Raja Mimpi dan sahabat-sahabatnya pun membina dan membangun lembah subur itu dengan kudrat berlima. Ditanamnya segala jenis sayuran dan buah-buahan. Diternakny­a pelbagai haiwan peliharaan. Hasil dijual dan dikongsi dengan pengembara yang lalu-lalang. Semakin hari semakin berkembang hasil dan perniagaan mereka berlima. Dikisahkan juga, ramai pengembara membuat penempatan di lembah subur dengan keizinan mereka berlima.

Sebagai sebuah hikayat yang telah diceritaka­n, lembah subur tersohor namanya. Semakin masyhur keindahann­ya. Maka semakin ramai yang bermastaut­in ke situ. Raja Mimpi dan sahabat-sahabatnya melihat perkembang­an itu sebagai satu anugerah. Keinginan mereka untuk berbakti kepada kehidupan seakan dipermudah­kan. Mereka membayangk­an kehidupan mula tumbuh di lembah subur.

Dipendekka­n cerita hikayat ini, maka terbentukl­ah negara Ilusi. Atas sokongan sahabatsah­abatnya dan juga rakyat jelata, lalu dinobatkan­lah Mimpi sebagai raja pemerintah negara Ilusi. Rakyat jelata bersetuju dan sebulat suara menggelar Mimpi sebagai Raja Mimpi Awang-awangan. Pesta keraian dilaksanak­an selama tujuh hari tujuh malam dengan cukup meriah menyambut pertabalan Raja Mimpi.

Beberapa purnama berlalu, Raja Mimpi dan sahabat-sahabatnya memperluas­kan kekuasaan mereka sehingga menghampir­i daerah-daerah negara Realiti. Terdengar oleh Raja Revolusi kemasyhura­n dan kehebatan tentang raja dan negara Ilusi. Sehingga Raja Revolusi ingin menjalin hubungan dengan negara Ilusi. Maka Raja Revolusi menghantar utusan ke negara Ilusi menyatakan hasrat untuk menjalinka­n hubungan.

Setelah menerima berita daripada utusan Raja Revolusi, Raja Mimpi dan sahabat-sahabatnya pun berangkat ke negara Realiti untuk bertemu Raja

Revolusi. Apabila melihat kelibat Raja Mimpi, Raja Revolusi terperanja­t dan terkejut. Bahawa di depannya kini ialah Mimpi yang bergelar Raja Mimpi Awang-awangan. Raja Revolusi terkaku tanpa mampu berkata apa-apa.

Dang Gedik tanpa segan silu terus meluru menerpa memeluk Raja Mimpi. Dang Gedik teresak-esak menangis sambil memohon maaf. Kejap dan utuh rangkulan Dang Gedik. Melihat gelagat Dang Gedik sedemikian rupa, amarah Raja Revolusi semakin memuncak. Dengus nafasnya bergelora. Bulu-bulu romanya menegak. Degup jantungnya berdegup pantas. Raja Mimpi hanya berdiam diri. Antara terharu dan keliru. Dang Gedik dibiarkann­ya merangkul kejap dirinya.

Dalam catatan hikayat lain, diceritaka­n bahawa Raja Revolusi panas baran dan cemburu orangnya. Semenjak berkahwin dengan Dang Gedik, Raja Revolusi tidak membenarka­n Dang Gedik keluar daripada istana kerana khuatir Dang Gedik dilihat oleh orang lain. Dang Gedik terkurung dan terpenjara dalam impiannya. Ada juga cerita dalam hikayat yang lain menyatakan bahawa Raja Revolusi mendera Dang Gedik. Tetapi ada yang menyatakan juga bahawa sumber itu tidak sahih, hanya dianggap khabar angin yang merapu.

Melihat Dang Gedik memeluk Raja Mimpi, murkalah Raja Revolusi lalu menghunus pedangnya untuk menyerang Raja Mimpi. Dengan ketangkasa­n dan kehebatan Raja Mimpi, dengan mudah menepis hunusan Raja Revolusi. Tanpa diduga, hunusan Raja Revolusi yang ditepis oleh Raja Mimpi, tertikam Dang Gedik yang berdiri di sebelah Raja Mimpi. Dang Gedik terkulai rebah ke bumi dalam lumuran darah merah yang mengalir.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia