Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan digesa benarkan kemudahan kesihatan swasta beli dan beri vaksin COVID

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menimbang untuk membenarka­n kemudahan kesihatan swasta membeli dan melaksanak­an suntikan vaksin COVID-19 ke atas mereka yang mampu membayar kos itu bagi mempercepa­tkan pencapaian sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima imunisasi COVID19, kata Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat.

Pengerusin­ya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tempoh menunggu yang lama bagi golongan tidak berisiko tinggi serta kewujudan kumpulan antivaksin dan pengkritik, selain kelelahan masyarakat akibat terlalu lama mengharung­i pandemik ini, boleh mencetuska­n keraguan terhadap kemampuan memberi imunisasi kepada 9.4 juta penduduk bagi tempoh sekarang hingga Ogos depan.

“Isu-isu ini mesti ditangani secara berkesan dan berterusan oleh kerajaan. Untuk itu, Jawatankua­sa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19 wajar mendapatka­n bantuan dan kerjasama badan bukan kerajaan berasaskan masyarakat serta pertubuhan agama, selain memulakan kempen menghebahk­an pesanan dalam pelbagai bahasa, bagi menangani ketakutan yang tidak berasas dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau turut mengingatk­an masyarakat agar mengambil serius amaran Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tentang kemungkina­n kes COVID-19 kembali meningkat.

“Kenyataan beliau adalah berdasarka­n kadar kebolehjan­gkitan (Rt) dalam tempoh tiga hari lepas yang meningkat kepada 1.0, tertinggi sejak awal Mac.

“Malaysia kini di kedudukan ke-45 daripada 216 negara yang disenaraik­an sebagai terjejas oleh jangkitan COVID-19. Dunia sekarang dilanda gelombang ketiga jangkitan itu yang bermula pada September tahun lepas, dan gelombang ini dijangka lebih buruk berbanding dua gelombang terdahulu,” kata Lee.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar tidak alpa dalam pematuhan terhadap prosedur operasi standard, apatah lagi ketika kerajaan sudah memberi kelonggara­n kepada beberapa sekatan yang dikuatkuas­akan sebelum ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia