Utusan Borneo (Sarawak)

Polis bongkar makmal proses dadah jenis heroin di Johor

Selain dadah, pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas

-

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas dadah bernilai RM1.08 juta hasil pembongkar­an sebuah makmal pemprosesa­n dadah jenis heroin di Iskandar Puteri pada 23 Mac lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi khas dijalankan di sebuah rumah sewa pada jam 2 petang, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bertindak sebagai ahli kimia dan ‘runner’ ditahan.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai dibayar gaji sebanyak RM10,000 sebulan untuk membuat dan mengedar dadah kepada pelanggan di sekitar negeri itu.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini terdiri daripada 57.83 kilogram (kg) heroin bernilai RM642,588.88; 4.53 kg heroin base bernilai RM420, 828.56 dan 77.70 kg kafein bernilai RM26,418.

“Selain dadah, pelbagai peralatan untuk memproses dadah turut dirampas. Polis juga menyita lima kenderaan, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai barangan kemas, 25 utas jam tangan dan 15 akaun bank bernilai RM473,283.42,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Ayob Khan berkata, susulan penahanan lelaki berkenaan, polis memberkas dua wanita tempatan berusia 34 dan 35 tahun di Temerloh, Pahang dan Batu Gajah.

“Kedua-dua wanita ini adalah isteri kepada dua lagi lelaki yang masih diburu polis untuk membantu siasatan bersabit Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan masing-masing beralamat terakhir di Taman Bestari dan Taman Perling, Iskandar Puteri,” katanya.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kediaman berpagar dan berpengawa­l yang disewa sebagai makmal memproses dadah dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.

Dalam satu lagi kes, Ayob Khan memaklumka­n seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan pada 25 Mac lepas, juga di Iskandar Puteri bersama dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM347, 874.44.

“Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis Methamphet­amine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu rekod ‘wanted’ bagi kes dadah.

“Lelaki ini baru melakukan kegiatan ini kira-kira seminggu turut menjadikan rumah sewa berpagar dan berpengawa­l sebagai tempat penyimpana­n dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan hasil penahanan lelaki terbabit. — Bernama

Dadah yang dirampas dalam operasi ini terdiri daripada 57.83 kilogram (kg) heroin bernilai RM642,588.88; 4.53 kg heroin base bernilai RM420, 828.56 dan 77.70 kg kafein bernilai RM26,418.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

Ketua Polis Johor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia