Utusan Borneo (Sarawak)

Pesara tentera cuba selamatkan kanak-kanak ditemui lemas

- — Bernama

KOTA BHARU: Seorang pesara tentera ditemukan lemas selepas dihanyutka­n ombak, ketika cuba menyelamat­kan seorang kanak-kanak dalam kejadian di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, mangsa Juhairohaf­izan Juhari, 35, ditemukan pada jarak 50 meter dari tempat kejadian kira-kira 2.50 pagi.

Beliau berkata Juhairohaf­izan merupakan mangsa kedua yang maut dalam kejadian itu, cuba untuk menyelamat­kan Muhammad Aman Firas Aman Syah, 12, yang turut hanyut dibawa arus ketika berkelah bersama keluargany­a di pulau berkenaan.

Bagaimanap­un katanya, Muhammad Aman Firas ditemui selamat oleh nelayan yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian, 11 malam kelmarin.

“Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan, manakala mangsa yang lemas dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifik­asikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, operasi SAR berkenaan ditamatkan pada 3.32 pagi selepas kesemua mangsa ditemui.

Kelmarin, dilaporkan, seorang lemas manakala dua lagi hilang dibawa arus dalam satu perkelahan yang bertukar tragedi di Pulau Kambing, Pantai Kandis, Bachok.

Mangsa pertama yang ditemukan lemas dalam kejadian itu adalah Mohd Sahudin Mat Shaah, 46.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia