Utusan Borneo (Sarawak)

Kluster Taman Vistagro diisytihar­kan kluster baharu COVID-19 di Sarawak

-

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semalam mengisytih­arkan satu lagi kluster baharu COVID-19 di negeri ini iaitu Kluster Taman Vistagro, Sri Aman menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini meningkat kepada 33.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataann­ya semalam berkata Kluster Taman Vistagro, Sri Aman merupakan kluster komuniti dikesan di kawasan perumahan di bandar Sri Aman.

Menurut JPBNS, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-14,911, merupakan seorang lelaki rakyat negeri ini berumur 62 tahun yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala di klinik swasta.

Indeks kes ini katanya, telah didapati positif ujian saringan RTK Antigen di klinik swasta pada 23 Mac 2021. Kes kemudian terus dimasukkan ke PKRC di Sri Aman dan telah menjalani saringan pengesahan menggunaka­n rT-PCR. Kes indeks ini telah didapati positif COVID-19 pada 25 Mac 2021.

“Kes indeks berkemungk­inan telah mendapat jangkitan daripada komuniti semasa melakukan pergerakan rentas zon kerana dia kerap melakukan perjalanan ke daerah Kuching.

“Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual kepada kes indeks ini, tambahan 17 kes positif dikesan positif COVID-19 melibatkan kluster ini,” katanya.

JPBNS menambah, 179 individu telah disaring, 18 daripadany­a dikesan positif

COVID-19 termasuk kes indeks, 46 kes negatif dan 115 lagi masih menunggu keputusan.

Kesemua 18 kes positif membabitka­n Kluster Taman Vistagro, Sri Aman telah dirujuk ke Hospital Sri Aman dan telah dimasukkan ke PKRC Sri Aman untuk mendapatka­n rawatan lanjut dan pengasinga­n.

“Hari ini sebanyak 33 kluster yang masih aktif di Sarawak termasuk Kluster Taman Vistagro, Sri Aman, daripada jumlah tersebut, sembilan kluster melaporkan terdapat penambahan kes. Manakala 24 kluster lagi tidak ada penambahan,” jelasnya.

Sementara itu JPBNS memberitah­u semalam bahawa daerah Kanowit telah bertukar status daripada status Kuning kepada status Jingga setelah merekodkan sejumlah 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

Ini katanya menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga telah meningkat kepada empat daerah iaitu Kanowit, Song, Bukit Mabong dan Sarikei.

Manakala 11 daerah katanya kekal berstatus Merah iaitu Samarahan, Sri Aman, Serian, Julau, Betong, Meradong, Kuching, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu.

“Terdapat 17 lagi daerah berstatus Kuning (Matu, Pakan, Marudi, Subis, Tanjung Manis, Beluru, Tebedu, Bau, Mukah, Selangau, Dalat, Limbang, Telang Usan, Belaga, Lundu, Saratok dan Sebauh) dan lapan daerah iaitu Tatau, Pusa, Asajaya, Lawas, Daro, Simunjan, Lubok Antu dan Kabong berstatus Hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia